Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 FEB – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha,Penaung Di-Raja Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam (PPPBD), berkenan berangkat ke Majlis Khatam Al-Quran PPPBD yang berlangsung di Royal Berkshire Hall, Royal Polo and Riding Club, Jerudong, petang tadi.
Turut berangkat ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah; Yang Amat Mulia Pengiran Bini Hajah Faizah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam.
Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri berserta kerabat diraja dijunjung oleh Ketua Pesuruhjaya PPPBD, Hajah Siti Hafsah binti Haji Abdul Halim.
Majlis yang dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan kemudian bacaan Tahtim oleh peserta-peserta khatam Al-Quran telah diketuai bersama oleh Pemimpin Muda PPPBD dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dayang Nurul Fatin binti Abi dan Dayang Nor Sabrina binti Ratna, disusuli oleh bacaan Doa Khatam Al-Quran.
Sementara itu alunan dikir Asyrakal pula dipimpin oleh Pemimpin Dewasa, Dayang Hamizah binti Haji Tahamit dan seterusnya Doa Selamat dan Doa Allah Peliharakan Sultan pula dipimpin oleh Pesuruhjaya Kerohanian PPPBD, Hajah Fatimah binti Haji Abd Ghani.


Sebanyak tiga kumpulan pembaca yang terdiri daripada ahli-ahli majlis jawatankuasa tadbir, pemimpin-pemimpin dewasa, pemimpin-pemimpin muda, pandu puteri renjer dan pandu puteri telah menyelesaikan bacaan masing-masing untuk melengkapkan bacaan kesemua 30 Juz Al-Quran.
Majlis Khatam Al-Quran PPPBD merupakan salah satu daripada kegiatan keagamaan tahunan persatuan.
Majlis dan kegiatan ini diadakan bertujuan bagi memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-37 bagi tahun 2021 dengan kegiatan-kegiatan keagamaan dan bermanfaat.
Di samping itu, ia juga diadakan bagi memupuk budaya membaca, memahami dan mendalami Al-Quran di kalangan ahli persatuan sekali gus mendidik ahli-ahli dari aspek kerohanian untuk lebih mendekatkan diri kepada Al-Quran yang merupakan panduan hidup yang lengkap selain mengeratkan lagi hubungan silaturahim dan memupuk perasaan muhibah di kalangan ahli persatuan.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Naib Yang Di-Pertua Sepanjang Hayat PPPBD, Datin Paduka Hajah Zaharah binti Haji Idris; Naib Yang Di-Pertua Sepanjang Hayat PPPBD, Datin Paduka Hajah Jusnani binti Haji Lawie; Naib Yang Di-Pertua Sepanjang Hayat PPPBD, Datin Hajah Masni binti Haji Mohd Ali; dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya PPPBD, Hajah Viviyanti binti Haji Ali.
Di samping kegiatan-kegiatan perkembangan kemahiran, kemasyarakatan dan kebudayaan, PPPBD turut aktif dalam mengungkayahkan kegiatan-kegiatan yang bersifat kerohanian dan keagamaan yang melibatkan penyertaan ahli-ahli dari semua peringkat.
Antara kegiatan-kegiatan tersebut termasuk majlis Doa Kesyukuran dan sembahyang fardu berjemaah bersempena hari-hari kebesaran negara serta projek berterusan Projek Pencinta Kalam Allah.