Tuesday, July 22, 2025
31.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan berangkat ke Majlis Khatam Al-Quran

    Oleh Sim Y. H.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JULAI – Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah, Yang Di-Pertua Persatuan Pandu Puteri berkenan berangkat ke Majlis Khatam Al-Quran Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-79 yang berlangsung di Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Katok, hari ini.

              Keberangkatan Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Naib Yang Di-Pertua Sepanjang Hayat Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam (PPPBD), Datin Hajah Masni binti Haji Mohd Ali; Naib Yang Di-Pertua PPPBD, Hajah Viviyanti binti Haji Mohd Ali serta Pesuruhjaya PPPBD, Dayang Norazrina binti Haji Sarbini.

              Majlis dimulai dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Selawat Tafrijiyyah dan doa memulakan bacaan Al-Quran beramai-ramai serta diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pesuruhjaya Kerohanian PPPBD, Hajah Fatimah binti Haji Abdul Ghani.

              Majlis kemudiannya diikuti dengan bacaan Tahtim oleh para peserta Khatam Al-Quran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-79 Tahun 2025 yang dipimpin oleh para peserta khatam Al-Quran dari Unit Pemimpin Muda Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).

              Sementara itu, bacaan Doa Khatam Al-Quran dipimpin oleh Pesuruhjaya Pemimpin Muda PPPBD,  Dr Mariam binti Haji Abdul Rahman.

    Manakala bacaan Doa Selamat dan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam pula dipimpin oleh Hajah Fatimah.

              Majlis khatam tersebut adalah merupakan salah satu daripada kegiatan tahunan persatuan.

              Majlis itu bermatlamat untuk menyemarakkan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan serta sebagai tanda kesyukuran atas limpah kurnia kemakmuran dan keamanan yang telah dikurniakan oleh Allah SWT pada Negara Brunei Darussalam di bawah pemerintahan Baginda Sultan.

              Di samping kegiatan-kegiatan perkembangan kemahiran, kemasyarakatan dan kebudayaan, PPPBD turut aktif dalam melaksanakan kegiatan-kegiatan yang bersifat kerohanian dan keagamaan yang melibatkan penyertaan ahli-ahli daripada semua peringkat.

     

    Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah bergambar ramai pada majlis tersebut. – GAMBAR-GAMBAR OLEH LYNA MOHD
    Atas & bawah: Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah berkenan berangkat ke majlis itu.

    Para peserta khatam Al-Quran dari Unit Pemimpin Muda UNISSA memimpin bacaan Tahtim pada majlis berkenaan.
    Atas & bawah: Antara yang hadir pada majlis tersebut.

     

     

     

     

     

     

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda