Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JULAI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, kelmarin, berkenan berangkat ke Majlis Persantapan bagi Pegawai-pegawai Keselamatan dan Pegawai Yang Beruniform serta Pertubuhan-pertubuhan Awam Yang Beruniform sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-78 Tahun di Istana Nurul Iman.
Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
Turut berangkat, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam berserta kerabat diraja.
Terdahulu, Majlis Persantapan itu dimulakan dengan lagu kebangsaan Allah Peliharakan Sultan, diikuti dengan Doa Selamat yang dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Baginda Sultan berkenan menerima junjung ziarah daripada para pegawai dan anggota pasukan beruniform yang terdiri daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Unit Simpanan Gurkha, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), Jabatan Laut, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) serta Jabatan Penjara.
Majlis turut dihadiri oleh ahli-ahli pertubuhan sukarelawan, antaranya Kadet ABDB, Kadet PDB, Kadet Bomba dan Penyelamat, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam, Persatuan Pandu Puteri Negara Brunei Darussalam, Persatuan Bulan Sabit Merah dan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN).
Majlis Persantapan bagi para pegawai dan pertubuhan-pertubuhan beruniform itu bertujuan untuk menghargai peranan penting dan tanggungjawab mereka dalam menjaga keselamatan dan keamanan negara, rakyat serta penduduk di negara ini.
Berangkat dan hadir sama ialah pengiran-pengiran cheteria, menteri-menteri kabinet, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, timbalan-timbalan menteri, pengiran-pengiran peranakan, pehin-pehin manteri, manteri-manteri hulubalang, para perwakilan asing ke Negara Brunei Darussalam, setiausaha-setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan serta para pegawai kanan kerajaan.











