Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, hari ini, berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Puja Usia Baginda Raja Isteri anjuran Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam (MWNBD) di Dewan Serambi Suluh, Bangunan Pusat Kesenian dan Pertukangan Tangan di ibu negara.
Berangkat sama ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam.
Keberangkatan tiba Baginda Raja Isteri dijunjung oleh Yang Di Pertua MWNBB, Datin Hajah Dayang Siti Hajar binti Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Awang Mohd Yusof selaku pengerusi majlis sambutan tahun ini bersama naib yang di-pertua I, II dan II serta ahli lembaga Tadbir MWNBD, yang di-pertua PEKERTI, PENJURU dan BSLA.
Dalam sembah alu-aluannya antara lain menyentuh mengenai perkembangan dan usaha-usaha yang diungkayahkan MWNBD di dalam dan luar negara terutamanya dalam memastikan bahawa ia terus relevan dan terbabit dalam beberapa inisiatif kerajaan yang berkaitan isu kekeluargaan, wanita, kanak-kanak, warga emas dan sebagainya.
Sejurus selepas sembah alu-aluan tersebut, Baginda Raja Isteri berkenan dijunjung memotong kek Hari Puja Usia diikuti dengan disembakan kad Hari Puja Usia serta menerima pesambah daripada MWNBD, PEKERTI, PENJURU dan BSLA kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia.
Majlis turut diserikan dengan persembahan bercorak keagamaan untuk memeriahkan lagi suasana sambutan oleh ahli-ahli persatuan.
MWNBD merupakan sebuah majlis kebangsaan bukan kerajaan yang dianggotai oleh 13 buah persatuan dan pertubuhan wanita di negara ini iaitu PERTIWI, Pertubuhan Perkumpulan Wanita (WI), Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam, Persatuan Kebajikan Perempuan (PKP) Daerah Belait, Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB), Badan Kebajikan Isteri-isteri Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (BAKTI) dan Badan Kebajikan Isteri-isteri Pegawai dan Kakitangan Wanita Kerajaan Brunei (BISTARI).
Selain itu, ia juga merangkumi Persatuan Ahli Perniagaan Wanita Daerah Tutong (PEGANITA), Persatuan Siswazah Wanita (PSW), Badan Kebajikan Wanita Perumahan Negara Lambak Kanan (BAKANITA), Persatuan Belia Kampung Lambak (PERBEKAL), Persatuan Wanita Kampung Junjungan (PEWAJA) dan Persatuan Nurul Islam (PNI).
Majlis ini antara lain bertujuan untuk meraikan Sambutan Hari Puja Usia Baginda Raja Isteri dengan penuh kesyukuran dan iringan doa semoga Baginda dilanjutkan usia, sentiasa sihat walafiat dan berbahagia serta menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih atas sokongan dan dorongan berterusan Baginda Raja Isteri terhadap kaum wanita di negara ini, khususnya MWNBD.







