Monday, December 2, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan berangkat ke majlis puja usia

    Oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar oleh Infofoto

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JULAI – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik selaku Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) berkenan berangkat ke Majlis Doa Kesyukuran Sempena Sambutan Hari Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia yang ke-38 tahun anjuran Yayasan, hari ini.

    Majlis dimulakan dengan sembahyang Fardu Maghrib berjemaah dan diikuti dengan bacaan Surah Yasin.

    Acara kemudian diteruskan dengan bacaan Doa Kesyukuran sempena Hari Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia yang dibacakan oleh Ketua Hakim Syar’ie, Yang Amat Arif / Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar dan diteruskan sembahyang fardu Isyak berjemaah.

    Duli Yang Teramat Mulia kemudiannya berkenan memotong kek puja usia dan menerima pesambah daripada Yayasan. Duli Yang Teramat Mulia diputerakan pada 19 Ramadan 1403 Hijrah bersamaan 30 Jun 1983 Masihi dan pada tahun 1 Mac 2013, Duli Yang Teramat Mulia dilantik menjadi Pengerusi Jemaah Tadbir.

    Menerajui pucuk pimpinan tertinggi di Yayasan, Duli Yang Teramat Mulia sangat prihatin terhadap pengurusan dan perkembangan Yayasan.  

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan memotong kek puja usia Duli Yang Teramat Mulia yang ke-38, kelmarin.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah sebanyak $50,000 kepada Tabung Kemanusiaan Palestin 2021.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan menerima pesambah.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan mengerjakan solat fardu Maghrib berjemaah.

    Duli Yang Teramat Mulia juga sering berkenan mempengerusikan mesyuarat jemaah tadbir, meninjau dan melibatkan diri dalam apa jua projek dan aktiviti yang diusahakan dan dianjurkan Yayasan.

    Semasa majlis ini juga, Duli Yang Teramat Mulia berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan Yayasan sebanyak $50,000 dan juga hasil kutipan tabung derma daripada warga kerja Yayasan sebanyak $1,772.00 kepada Tabung Kemanusiaan Palestin 2021.  

    Sumbangan ini diterima oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, selaku penasihat bersama Jawatankuasa Kebangsaan Tabung Kemanusiaan Palestin 2021.

    Menjunjung keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang  Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, selaku pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, selaku timbalan pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan; dan Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku pemangku pengarah urusan Yayasan.

    Turut hadir di majlis ini ialah ahli-ahli Jemaah Tadbir Yayasan; ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan; ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-anak Yatim; para jemputan, pegawai-pegawai dan kakitangan serta guru-guru Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda