Oleh Salawati Haji Yahya
TUTONG, 23 JULAI – Wajah-wajah ceria dan keterujaan rakyat dan penduduk di daerah Tutong menanti keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam jelas terpancar apabila masing-masing mencari tempat sesuai untuk mendapat wajah raja kesayangan rakyat dengan lebih dekat lagi pada Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Tutong, hari ini
Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

Keberangkatan Baginda menuju ke Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong itu dimeriahkan dengan barisan bendera kecil negara yang dikibarkan oleh murid-murid dan pelajar sekolah sepanjang jalan, di mana pada tahun ini, daerah Tutong diberikan penghormatan sebagai daerah pertama bagi majlis ramah mesra dan junjung ziarah.

Di majlis itu, keberangkatan Baginda Sultan serta kerabat diraja, dijunjung oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.
Sejurus keberangkatan Baginda Sultan dan kerabat diraja kemudian dijunjung ke Pentas Diraja dan lagu kebangsaan Allah Peliharakan Sultan dimainkan.
Bagi memeriahkan dan menyemarakkan sambutan sempena keberangkatan Baginda Sultan, acara diserikan dengan persembahan khas yang bertemakan Raja Berdaulat Kesayangan Rakyat dengan konsep persembahan muzikal drama.

Persembahan oleh gabungan seramai 340 pelajar sekolah rendah dan menengah kerajaan dan swasta, diterajui oleh kumpulan belia, penggiat seni kreatif tanah air itu menceritakan kisah sekumpulan warga kampung pada era 80-an yang berhasrat ingin bertemu dengan Raja yang disayangi di majlis ramah mesra dan junjung ziarah di daerah ini. Kisah suka-duka tersebut dizahirkan melalui gabungan persembahan seni lakonan, nyanyian dan juga tarian yang penuh dengan warna-warni.

Kemeriahan suasana majlis di daerah ini jelas terlihat di wajah setiap rakyat dan penduduk yang tidak melepaskan peluang untuk menatap wajah Baginda Sultan serta kerabat diraja seterusnya menghadapkan sembah Hari Keputeraan ke hadapan majlis Baginda Sultan.

Keberangkatan Baginda Sultan mencemar duli serta beramah mesra bersama rakyat merupakan suatu tradisi murni yang dapat memberi peluang keemasan bagi rakyat untuk menzahirkan rasa syukur dan kasih sayang kepada pemimpin yang dikasihi serta merupakan acara yang amat dinanti-nantikan oleh segenap lapisan penduduk di daerah Tutong.


