Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 MEI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha hari ini berkenan berangkat bercemar duli ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Turut berangkat ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah; DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah; DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam.
Menjunjung keberangkatan Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri berserta kerabat diraja ialah Timbalan Pengerusi I Jemaah Tadbir Yayasan, YAM Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar; Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan; Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Jaafar; Menteri di JPM, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; dan Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Aturcara majlis dimulakan dengan bacaan Doa Selamat yang dibacakan oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan, diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua selaku pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan.
Menurut Yang Berhormat Pehin dalam sembah alu-aluannya antara lain mengungkapkan rasa syukur kerana Negara Brunei Darussalam menunjukkan perkembangan positif dalam menangani impak COVID-19 yang sekali gus dapat mengurangkan pelbagai sekatan-sekatan yang terpaksa dilaksanakan sebelum ini.






“Sesungguhnya semua yang kita nikmati ini merupakan kurnia rahmat dari Allah SWT dan juga berkat daulat dan ketangkasan serta ketegasan kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerajaan Baginda yang merupakan tonggak utama kejayaan negara mengawal penularan wabak COVID-19 ini serta kerjasama padu seluruh rakyat dan penduduk di negara ini,” jelasnya.
Seluruh rakyat dan penduduk, tambahnya, sangat-sangat menjunjung kasih atas keprihatinan mendalam dan kepimpinan bijaksana Baginda Sultan dalam usaha mengawal penularan wabak dan pelbagai sumbangan dan bantuan, melalui Yayasan dalam menjaga kesejahteraan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.
“Semua penduduk dan rakyat di negara ini mendoakan semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan KDYMM Baginda Raja Isteri dan ahli kerabat diraja sentiasa dalam kurnia rahmat, sihat walafiat, bahagia, dilanjutkan usia dan semoga Baginda Sultan terus kekal karar memerintah, di atas takhta singgahsana, kerajaan dan memimpin Negara Brunei Darussalam dengan penuh kedaulatan, kemakmuran, kesejahteraan dengan limpahan rahmat, taufik dan hidayah Allah SWT,” tambahnya.
Semasa majlis tersebut, Baginda Sultan turut berkenan mengurniakan titah. Aturcara majlis kemudiannya diteruskan dengan tayangan video yang antara lain memaparkan usaha dan sokongan padu semua pihak bersatu hati membendung dan mengharungi cabaran impak wabak COVID-19.
Majlis diserikan dengan persembahan pentas daripada pelajar-pelajar Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah daripada peringkat Taman Asuhan Kanak-kanak, rendah dan menengah.
Bersesuaian dengan tema dan konsep sambutan pada tahun ini, pameran mengenai usaha-usaha, inisiatif-inisiatif dan komitmen semua kementerian termasuk Yayasan dalam mengawal penularan wabak COVID-19 dan seterusnya menangani kesan atau impak COVID-19 dengan pendekatan Whole-of-Nation bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk terus diberi perhatian dan pemedulian.
Pameran disertai oleh Kementerian kesihatan, JPM, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Pasukan Polis Diraja Brunei, Yayasan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Pendidikan, Kementerian Perhubungan dan Infokomunikasi, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Kementerian Tenaga dan banyak lagi.
Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri kemudian berkenan dijunjung untuk beramah mesra dengan semua peserta yang hadir.
Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Yayasan ini merupakan penganjuran kali ke-17 sejak mula diadakan pada tahun 2003. Ia mengumpulkan para peserta daripada latar belakang yang berbeza untuk sama-sama menyembahkan junjung kasih dalam suasana yang lebih mesra dan meriah.
Dengan tema ‘Mensyukuri Nikmat Kesihatan Sebagai Anugerah Allah’ seperti yang disejajarkan dengan tema Majlis Ilmu 2020 sempena sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-74 tahun, Yayasan mengetengahkan para peserta yang terdiri daripada para petugas barisan hadapan yang terlibat dalam menangani wabak COVID-19 termasuk pegawai-pegawai perubatan yang terlibat secara langsung menangani pesakit COVID-19.
Turut serta memeriahkan persembahan ialah pegawai-pegawai kesihatan awam yang bertungkus-lumus mengesan dan mencari kontak-kontak pesakit demi mengekang penularan wabak, para pegawai dari pelbagai agensi yang terlibat menyumbangkan khidmat secara langsung mahupun tidak langsung menangani penularan wabak dan juga para sukarelawan yang turut membantu usaha ini.
Pemilihan peserta ini adalah bersesuaian bagi menzahirkan rasa syukur seluruh rakyat dan penduduk dengan rahmat Allah SWT dan atas keprihatinan dan kepimpinan bijaksana Baginda Sultan dalam mengekang dan mengawal penularan wabak COVID-19 secara dalaman atau komuniti selama lebih setahun. Kini pengurangan pelbagai sekatan-sekatan dapat dilaksanakan bagi membolehkan aktiviti-aktiviti di semua sektor dapat beroperasi mengikut kesesuaian norma atau kebiasaan baharu.
Turut hadir dalam majlis ini ialah pengiran-pengiran cheteria, menteri-menteri kabinet, timbalan-timbalan menteri, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, setiausaha-setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap serta para jemputan khas.