Berkenan berangkat ke majlis santap beradat

Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 FEB – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, hari ini, berkenan berangkat ke Majlis Santap Beradat Sambutan Hari Polis ke-99 tahun 2020 yang berlangsung di Dewan Bankuet Mes Pegawai, Kompleks Ibu Pejabat Polis Gadong.

Berangkat sama ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri selaku Komandan Polis Wanita.

Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II (Kedua), Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Amin Liew bin Abdullah.

Keberangkatan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dijunjung oleh Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali dan Timbalan Pesuruhjaya Polis, Pengiran Dato Seri Pahlawan Haji Mohammad Jefri bin Pengiran Haji Abdul Hamid.

Sejurus berangkat tiba, Duli Yang Teramat Mulia berkenan beramah mesra bersama pegawai-pegawai Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) dan kemudiannya dijunjung untuk menandatangani lembaran kenangan keberangkatan di Ruang Legar Dewan Bankuet diikuti dengan sesi bergambar kenang-kenangan.

Duli Yang Teramat Mulia kemudiannya dijunjung berangkat ke Dewan Bankuet Mes Pegawai, di mana sejurus selepas itu, lagu kebangsaan dimainkan dan panji-panji PDB diarak masuk ke dalam dewan dengan iringan muzik serunai dan tambur.

Majlis Santap Beradat diserikan dengan iringan muzik yang dimainkan oleh Pancaragam PDB. Selesai majlis santap, panji-panji PDB diarak keluar Dewan Bankuet dan lagu kebangsaan sekali lagi dimainkan.

Duli Yang Teramat Mulia dan kerabat diraja seterusnya berkenan bagi menerima junjung ziarah daripada pegawai-pegawai PDB sebelum berangkat meninggalkan majlis.

Pasukan PDB mengadakan Majlis Santap Beradat sempena Sambutan Hari Polis ke-99 tahun 2020 dengan tema Sambutan Hari Polis ke-99 iaitu ‘Bersama Menghadapi Cabaran’.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berserta YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna berkenan dijunjung bagi bergambar ramai.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan dijunjung beramah mesra bersama para pegawai.
YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna berkenan dijunjung bagi beramah mesra bersama pegawai-pegawai PDB.