Monday, January 20, 2025
28.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan berangkat ke majlis santap beradat

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JAN – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Majlis Santap Beradat sempena Upacara Istiadat Penganugerahan Bendera Panji-panji Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Bankuet Mes, Kompleks Ibu Pejabat Polis Gadong.

    Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Komandan Polis Wanita.

    Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Pemangku Pesuruhjaya Polis, DCP Dato Seri Pahlawan Sulaiman bin Alidin bersama Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis, Yang Amat Mulia SAC Pengiran Anak Haji Mohammad Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris.

    Sejurus berangkat tiba, Baginda Sultan dijunjung untuk menandatangani Lembaran Kenangan Keberangkatan di Ruang Legar Dewan Bankuet dan seterusnya beramah mesra bersama pegawai-pegawai penolong penguasa polis Skuad 1/2024 dan pegawai peralihan inspektor seramai 15 orang.

    Semasa keberangkatan masuk ke Dewan Bankuet Mes, lagu kebangsaan dimainkan dan kemudiannya Panji-panji Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersama Panji-panji Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) diarak masuk ke dalam Dewan Bankuet dengan iringan muzik serunai dan tambur.

    Sebelum majlis dimulakan, bacaan doa selamat dibacakan oleh Pengerusi Badan Ugama Islam (BUI) PPDB, Timbalan Penguasa Polis Aimi Safwan bin Zalidin. Majlis Santap Beradat diserikan dengan iringan muzik yang dimainkan oleh Pancaragam PPDB.

    Selesai Majlis Santap, Panji-panji Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersama Panji-panji PPDB diarak keluar Dewan Bankuet dan lagu kebangsaan sekali lagi dimainkan.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berjunjung ziarah bersama pancaragam polis dan Ahli Jawatankuasa Mes Pegawai PPDB sebelum berangkat meninggalkan Dewan Bankuet Mes.

    Turut hadir ke majlis itu ialah Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, dan Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, bersama timbalan-timbalan menteri, pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan dan pegawai-pegawai PPDB.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan berangkat ke Majlis Santap Beradat di Dewan Bankuet Mes, Kompleks Ibu Pejabat Polis Gadong. Turut berangkat DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    ATAS & BAWAH : Antara yang hadir pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Rombongan Panji-panji Diraja dan Panji PPDB masuk ke Dewan Bankuet Mes, Kompleks Ibu Pejabat Polis Gadong. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda