Oleh Nurdiyanah R. –
KUALA LUMPUR, MALAYSIA, 21 JULAI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, malam kelmarin, berkenan berangkat ke Majlis Santap Diraja sempena Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang berlangsung di Dewan Persantapan, Istana Negara, Kuala Lumpur.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri ialah ahli-ahli kerabat diraja.
Keberangkatan tiba Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri di Istana Negara dijunjung oleh Menteri Komunikasi, Malaysia, Tuan Yang Terutama Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil.
Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri kemudiannya dijunjung menyertai sesi bergambar ramai bersama KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah; His Majesty King Hamad bin Isa Al Khalifa, Raja Bahrain; Raja-raja dan Raja-raja Permaisuri; Yang Di-Pertua-Yang Di-Pertua Negeri dan Toh Puan-Toh Puan; serta Perdana Menteri Malaysia dan isteri.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri seterusnya berangkat bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke Dewan Persantapan bagi Majlis Santap Diraja.
Majlis Santap Diraja dimulakan dengan bacaan Doa Selamat oleh Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Haji Munir bin Haji Mohd Salleh.
Majlis ini juga diserikan dengan persembahan orkestra tradisi Malaysia.