BANDAR SERI BEGAWAN, 12 DIS – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM), dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, pagi tadi berkenan menerima mengadap Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Lawrence Wong dan isteri, Loo Tze Lui di Qashr Al-Meezaan.
Turut berangkat ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan kerabat diraja.
Semasa majlis mengadap tersebut, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan TYT Lawrence Wong menekankan kembali komitmen kedua-dua buah negara dalam memajukan lagi Program Pemimpin-pemimpin Muda (YLP) serta menyentuh mengenai kerjasama dua hala antara kedua-dua buah negara yang kukuh dan berterusan, termasuk dalam bidang pertahanan dan keselamatan, sukan, perkhidmatan awam dan pembangunan kapasiti melalui pertukaran antara rakyat. DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan TYT Lawrence Wong juga mengakui bahawa hubungan diplomatik antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura semakin bertambah kukuh yang akan mencapai 40 tahun pada 2024.
Menyertai bersama TYT Lawrence Wong pada majlis tersebut ialah Menteri Kanan dan Menteri Penyelaras Keselamatan Negara Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Teo Chee Hean; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Menteri Kewangan (Kedua) dan Menteri Pembangunan Negara (Kedua), Puan Yang Terutama Indranee Thurai Rajah; Menteri Negara Kanan, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Tenaga Manusia, Tuan Yang Terutama Zaqy Mohamad; Menteri Negara Kanan, Kementerian Perhubungan dan Penerangan dan Kementerian Pembangunan Negara, Tuan Yang Terutama Tan Kiat How; Menteri Negara Kanan, Kementerian Kemampanan dan Sekitaran dan Kementerian Tenaga Manusia, Tuan Yang Terutama Dr Koh Poh Koon; dan Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Laurence Bay Siow Hon.
Turut hadir ialah Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid; dan Timbalan Menteri (Urus Tadbir Perkhidmatan Awam) di JPM, Dato Seri Paduka Awang Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos; serta Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-undang) di JPM, Dato Seri Paduka Haji Sufian bin Haji Sabtu.
Selepas majlis tersebut, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan berangkat ke Majlis Santap Tengah Hari bersama TYT Lawrence Wong dan isteri serta rombongan.
Majlis Santap Tengah Hari berkenaan telah dihoskan oleh DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota.
TYT Lawrence Wong dan isteri serta rombongan berada di negara ini bagi menghadiri YLP ke-9 yang diadakan bermula hari ini hingga 14 Disember.