ARAU, PERLIS, 18 APRIL – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat tiba ke Majlis Santapan Diraja sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Raja Negeri Perlis, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail yang berlangsung di Istana Arau, Perlis, Malaysia malam kelmarin.
Terdahulu, keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Perlis disambut oleh Yang Berhormat Ahli Dewan Rakyat Parlimen Padang Besar serta persembahan tarian ‘Selamat Datang’.
Sejurus berangkat tiba di Istana Arau, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dialu-alukan oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudian berangkat bersama Raja Negeri Perlis dan Raja Perempuan Perlis, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Tengku Fauziah binti Almarhum Tengku Abdul Rasyid bagi Majlis Santapan Diraja.
Pertunjukan bunga api dan persembahan kebudayaan turut diadakan untuk menyerikan Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis.
Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin dimasyhurkan menjadi Raja Perlis Ke-7 pada 17 April 2000 iaitu selepas kemangkatan ayahanda Baginda, Almarhum Tuanku Syed Putra ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail.
Sebagai Raja Perlis, Baginda memimpin Negeri Perlis dengan menekankan nilai-nilai agama Islam, memajukan infrastruktur dan pembangunan ekonomi negeri, memperkukuh sistem pendidikan serta memelihara warisan budaya.
Baginda kemudian ditabalkan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-12 pada 25 April 2002.
Selepas menghadiri Majlis Santapan Diraja semalam, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah , Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat meninggalkan Malaysia hari ini.
Berangkat bagi menyembahkan ucapan selamat berangkat kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra; Tengku Syarif Bendahara Perlis, Yang Amat Mulia Dato’ Seri Diraja Syed Badaruddin; Menteri Besar Perlis, Tuan Yang Terutama Haji Mohd Shukri bin Ramli; dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis, TYT Muhammad Azmir bin Azizan selaku Menteri Pengiring.
Juga hadir ialah Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Malaysia, TYT Brigedier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Mahmud bin Haji Saidin.
Sebelum berangkat balik, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Perlis, TYT Sahibus Samahah Prof. Dato’ Arif Perkasa Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin.