Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 NOV – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan berangkat ke Majlis Bertahlil di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong, kelmarin.
Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel.
Keberangkatan tiba Baginda Sultan serta kerabat diraja dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz dan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Pada majlis itu, bacaan Surah Al-Fatihah, Tahlil dan Doa Tahlil telah dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Baginda kemudian dijunjung menjirus air asah-asahan ke makam Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim yang mangkat pada 7 Rabiulawal 1442H bersamaan 24 Oktober 2020M pada pukul 10:08 pagi di usia 38 tahun.
Kemudian, Baginda berkenan menjirus air asah-asahan ke makam ayahanda dan bonda Baginda, Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit.
Baginda juga menjirus air asah-asahan ke makam Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam, Al-Marhumah Pengiran Babu Raja Pengiran Anak Hajah Besar dan Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz. DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota turut menjirus air asah-asahan diikuti oleh DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah pengiran-pengiran cheteria, menteri-menteri kabinet, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Diraja, timbalan-timbalan menteri, pehin-pehin manteri dan manteri-manteri hulubalang, setiausaha-setiausaha tetap, pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, pesuruhjaya Pasukan Polis Diraja Brunei serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.




