Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MAC – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah berkenan berangkat ke majlis bertahlil bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit dan Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim bertempat di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong, Bandar Seri Begawan pagi tadi.
Menjunjung keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ialah Menteri Hal Ehwal Agama selaku Ahli Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof dan juga Menteri Kesihatan selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

Majlis menyaksikan bacaan Surah Yaasin dan tahlil yang diketuai oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Hamidon bin Begawai Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Abdul Hamid.
Juga hadir ke majlis yang juga merupakan acara tahunan yayasan di bulan Ramadan berkenaan ialah ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim, pegawai-pegawai dan kakitangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, ahli-ahli Alumni Sultan’s Scholar Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, pelajar-pelajar Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, sukarelawan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan juga penduduk Kampong Bolkiah ‘A’ dan Kampong Bolkiah ‘B’.