Friday, April 25, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan berangkat ke musabaqah

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 APRIL – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan berangkat ke Majlis Pengumuman Keputusan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah/2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.
     
    Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
     
    Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji ldris, selaku Penasihat Bersama Jawatankuasa Tertinggi Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah/2025 Masihi; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah/2025 Masihi; Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, selaku Penasihat Jawatankuasa Tertinggi Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah/2025 Masihi; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, selaku Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, juga Pengendali Bersama Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah/2025 Masihi; Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah; dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof selaku Pengendali Bersama Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah/2025 Masihi.
     
    Majlis dimulakan dengan bacaan daripada qari jemputan bersama keluarga dari Malaysia iaitu Haji Azraie bin Dato’ Haji Abdul Hak dan Hajah Sarrul Munirah binti Haris serta anak-anak iaitu Athirah binti Haji Azraie, Ahmad Asyraf bin Haji Azraie, Ahmad Abrar bin Haji Azraie, Arifah binti Haji Azraie, Ahmad Azfar bin Haji Azraie, Adirah binti Haji Azraie dan Ahmad Ammar bin Haji Azraie.
     
    Majlis disusuli dengan sembah alu-aluan daripada Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin yang antara lain menyembahkan bahawa musabaqah-musabaqah yang diadakan sangat merangsang minat mendengar ayat-ayat Al-Quran dibacakan dan seterusnya menimbulkan kemahuan untuk belajar dan pandai membaca Al-Quran sambil berusaha juga memahami makna dan memetik pengajarannya.
     
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan hadiah kepada johan qari Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah/2025 Masihi di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, semalam. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan berangkat ke Majlis Pengumuman Keputusan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah/2025 Masihi, semalam. Berangkat sama ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Baginda Sultan berkenan mengurniakan hadiah kepada johan qariah Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah/2025 Masihi di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Baginda Sultan berkenan beramah mesra bersama para peserta. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah berkenan berangkat ke majlis tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Majlis turut diserikan dengan bacaan daripada qari jemputan bersama keluarga dari Malaysia. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Antara yang hadir di majlis tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Dalam hubungan ini, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menjunjung menyembahkan bahawa pada masa ini sudah terdapat pusat-pusat mengajarkan Al-Quran bagi orang ramai peringkat dewasa anjuran pihak-pihak swasta. Sementara di masjid-masjid pula memang tersedia kemudahan bagi kanak-kanak atau murid-murid belajar muqaddam dan membaca Al-Quran setiap pagi Jumaat.
     
    Bilangan keramaian kanak-kanak dan murid-murid yang dihantar oleh ibu bapa atau keluarga mereka belajar muqaddam dan Al-Quran di masjid-masjid seluruh daerah adalah terus meningkat, yang mana sehingga pada bulan Februari tahun 2024 ada seramai 14,399 orang, dan menurut data keramaiannya pada bulan Februari tahun ini ada seramai 14,963 orang iaitu meningkat seramai 564 orang. 
     
    “Oleh itu dapat dikatakan bahawa membaca Al-Quran adalah terus-menerus dipelajari termasuk secara tidak formal di luar sistem persekolahan di peringkat kanak-kanak dan murid bahkan bagi orang-orang dewasa. Ini adalah menandakan suatu yang sangat positif di mana negara kita berada pada landasannya yang betul ke arah melahirkan rakyat dan penduduk yang celik Al-Quran,” ujar Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.
     
    Beliau juga menyentuh mengenai dengan ayat-ayat Al-Quran yang dibacakan dalam musabaqah tahun ini ialah sebahagian daripada ayat-ayat Surah Saba’ dan Surah Fathir. Kedua-duanya dalam juzuk 22. 
     
    Setelah ditilawahkan disusuli dengan penyampaian ‘ibrah atau pengajaran yang dipetik daripadanya. 
     
    “Alhamdulillah, ‘ibrah telah disampaikan dengan baik oleh enam orang pegawai muda dari Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. 
     
    “Pada umumnya, ‘ibrah atau pengajaran daripada ayat-ayat yang ditilawahkan oleh peserta-peserta musabaqah adalah mengilhamkan dan menginsafkan untuk menjadi pegangan keugamaan dalam kehidupan individu, berkeluarga, bermasyarakat dan berpemerintahan dan bernegara, yang memandu dan mendorong ke arah kehidupan yang selamat dan sejahtera, berjaya dan cemerlang, baik dan seimbang bagi dunia dan akhirat,” tambah Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama. 
     
    Pada majlis itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga berkenan mengurniakan titah sebelum pengumuman keputusan musabaqah.
     
    Majlis diikuti dengan persembahan bacaan Al-Quran oleh johan qari dan johan qariah Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah/2025 Masihi.
     
    Awang Ahmad Zulwaqar bin Haji Suhaili dinobatkan sebagai johan qari dengan meraih markah 92.58 peratus, manakala naib johan qari dimenangi oleh Awangku Adi Nazri bin Pengiran Haji Jofri dengan meraih markah 91.65 peratus dan tempat ketiga dimenangi oleh Pengiran Muhd Amirul Aiman bin Pengiran Haji Marjuki dengan meraih Markah 91.42 perarus.
     
    Sementara itu, johan qariah dinobatkan kepada Dayangku Siti Ummi Syazana binti Pengiran Haji Marjuki dengan meraih markah 89.74 peratus, naib johan qariah dimenangi oleh Dayangku Amal Zahirah binti Pengiran Haji Jofri dengan meraih markah 87.99 peratus dan manakala tempat ketiga dimenangi oleh Dayang Amal Nazirah binti Haji Asmat dengan meraih markah 87.16 peratus.
     
    Sejurus selepas itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan hadiah-hadiah dan cenderamata kepada johan qari dan qariah serta peserta-peserta, qari jemputan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah/2025 Masihi.
     
    Johan menerima wang $7,000; pakej haji bagi kali pertama mendapat johan: piala pusingan, hadiah iringan, sijil penyertaan; pakej umrah bernilai $5,000 sumbangan daripada Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd (BSM), Akaun Simpanan Tekad Haji berjumlah $5,000 sumbangan daripada Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd, dan Darussalam Holdings Sdn Bhd; dan sebidang kain tenunan Brunei sumbangan daripada Syarikat Little Ummi.
     
    Naib johan menerima $5,000, hadiah iringan, sijil penyertaan; Akaun Simpanan Tekad Haji berjumlah $2,500 sumbangan daripada Perbadanan TAIB, Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd dan Darussalam Holdings Sdn Bhd; dan tempat ketiga menerima $3,000; hadiah iringan, sijil penyertaan; akaun simpanan tekad haji berjumlah $1,500 sumbangan daripada Perbadanan TAIB, Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd dan Darussalam Holdings Sdn Bhd.
     
    Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
     
    Musabaqah tahun ini dikendalikan bersama oleh KHEU, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, KKBS dan BSM Sdn Bhd.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda