LIMA, PERU, 14 NOV – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berangkat melawat Escuela Naval de Peru (Sekolah Tentera Laut Peru) di La Punta, Callao, Republik Peru.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Menteri Pertahanan Republik Peru, Tuan Yang Terutama Walter Astudillo; Ketua Sekolah Tentera Laut Peru, Laksamana Muda Luis Leon Cores dan beberapa pegawai kanan Tentera Laut Republik Peru.
Baginda seterusnya melintasi Barisan Kawalan Statik menuju ke tugu memorial Admiral Grau bagi menghadiri Majlis Meletakkan Kalungan Bunga.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudian berangkat ke Edificio Aguirre bagi menyaksikan pertunjukan Peruvian Marine Corps Fanning Company dan seterusnya menghadiri Majlis Santap Tengah Hari.
Sebelum berangkat balik, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menandatangani Buku Pelawat dan menerima sebuah pesambah.
Sekolah Tentera Laut Peru adalah sebuah institusi yang bertanggungjawab ke atas pendidikan sarjana muda bagi bakal pegawai-pegawai Tentera Laut Peru, dengan memberi tumpuan kepada enam tunjang latihan iaitu akademik, ketenteraan laut, fizikal, sosiobudaya, nautika, etika dan moral.
Setelah berjaya menamatkan program lima tahun ini nanti, para kadet akan memperolehi Ijazah Sarjana Muda dalam Sains Maritim Tentera Laut dan menerima pangkat Frigate Ensign.