Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 SEPT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pagi tadi berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Majlis Ilmu 2025 sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang ke-79 tahun di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.
Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.
Majlis Ilmu merupakan acara tahunan yang menjadi wadah penyebaran ilmu serta tanda kepimpinan intelektual Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam memperkasa pembangunan negara. Setiap tahun, tema khusus digariskan bagi mengangkat kepentingan nasional yang signifikan. Tahun ini, tema Negara Ditanai Dengan Sedekah memberi penekanan kepada budaya memberi yang berteraskan kebajikan, kesejahteraan sosial dan nilai Islam sebagai asas keberdayatahanan negara.
Majlis dimulakan dengan bacaan Doa Selamat oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Ia diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dari Surah Al-Baqarah ayat 261 hingga 264 yang dibacakan oleh johan Musabaqah Tilawah Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 2025, Awang Ahmad Zulwaqar bin Haji Suhaili. Intisari ayat pula dibacakan oleh Pegawai Pelajaran di Kementerian Pendidikan, Awang Muhammad Zainuddin Shah bin Talip.






Majlis diteruskan dengan sembah alu-aluan yang disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pandu Majlis Ilmu 2025.
Dalam sembahnya, Yang Berhormat Pehin merafak setinggi-tinggi junjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas perkenan berangkat bercemar duli bagi menyerikan Majlis Perasmian Majlis Ilmu 2025 serta mengurniakan titah dan melancarkan buku Negara Ditanai Dengan Sedekah serta berkenan menyaksikan pameran pada pagi penuh keberkatan itu.
Sejak mula dianjurkan pada tahun 2004, sembah Yang Berhormat Pehin, Majlis Ilmu menjadi acara tahunan yang memartabatkan ilmu serta memperkukuh nilai Melayu Islam Beraja. Tema-temanya sentiasa digarap selaras dengan titah Baginda, merangkumi pengukuhan akidah, pembinaan masyarakat berilmu, penghayatan rohani, kelestarian alam sekitar, pembangunan insan, inovasi dan kesejahteraan sosial.
“Majlis Ilmu berkembang sebagai platform yang bukan sahaja menyuburkan wacana ilmiah, malah menghubungkan warisan keilmuan Islam dengan cabaran semasa negara,” sembahnya.
Tahun ini, kesinambungan itu diteruskan dengan tema Negara Ditanai Dengan Sedekah yang mengangkat budaya memberi sebagai asas kekuatan rohani, pemangkin keberkatan serta teras pembangunan negara sejahtera. Tema tersebut, tambahnya, selaras dengan titah Baginda Sultan sempena Awal Ramadan 1443H/2022M yang menegaskan bahawa “rahsia sedekah sungguh istimewa… sedekah adalah penolak bala bahkan ubat penawar menyembuhkan penyakit”.
Yang Berhormat Pehin seterusnya menyembahkan Majlis Ilmu 2025 dianjurkan bersama oleh JPM, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Kementerian Pembangunan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Majlis ini akan memperincikan tajuk sedekah dalam pelbagai bentuk termasuk zakat, bantuan kebajikan dan sumbangan lain yang menyuburkan sifat pemurah, mengikis individualistik dan memperkukuh perpaduan ummah.
Antara pengisian utama ialah ceramah khas oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bertajuk Negara Brunei Darussalam Ditanai Dengan Sedekah.
Selain itu, Majlis Ilmu 2025 turut diserikan dengan Pameran Majlis Ilmu, Forum Perdana, Ceramah Perdana, Seminar Majlis Ilmu serta Forum Daerah di keempat-empat daerah yang membincangkan konsep sedekah jariah, memperluas pemahaman pelbagai bentuk sedekah serta menekankan teladan pendidikan sejak usia muda.
“Majlis Ilmu dihasratkan bukan sahaja memperkukuh kefahaman tentang fadilat sedekah, malah menggerakkan seluruh lapisan masyarakat menjadikannya budaya hidup berterusan. Sedekah dalam bentuk harta, ilmu, masa mahupun tenaga adalah asas ummah penyayang, bersatu dan berdaya tahan,” tambah Yang Berhormat Pehin.
Dalam majlis berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan melancarkan buku Negara Ditanai Dengan Sedekah dan seterusnya menyaksikan Pameran Majlis Ilmu 2025 yang mengetengahkan dalil Al-Quran, hadis Rasulullah SAW serta titah Baginda mengenai sedekah sebagai penolak bala dan penawar penyakit.
Pameran itu dihasratkan menerapkan prinsip sedekah sebagai teras pembangunan negara, menyoroti usaha senegara dalam menghidupkan budaya bersedekah melalui zakat, wakaf, bantuan kebajikan dan sumbangan berterusan. Turut serta dalam pameran ialah agensi kewangan, institusi pendidikan, perbankan, sektor swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Majlis Ilmu 2025 akan diteruskan dengan Forum Perdana Majlis Ilmu pada 27 September, Ceramah Perdana Majlis Ilmu pada 30 September, manakala Pameran Majlis Ilmu 2025 dibukakan kepada orang ramai mulai 25 September hingga 1 Oktober.
