Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Pro-Canselor Universiti Teknologi Brunei (UTB), kelmarin, berkenan berangkat merasmikan Pesta Konvo UTB ke-9 tahun 2024 yang berlangsung di Bangunan Fakulti Kejuruteraan, UTB.
Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Menteri Pembangunan selaku Pemangku Menteri Pendidikan dan sebagai Pemangku dan Pengerusi Majlis UTB, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid dan Naib Canselor UTB, Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman.
Turut hadir di pesta berkenaan adalah pihak kedutaan dan pesuruhjaya tinggi negara-negara Asean di negara ini dan Timor Lesta, ahli-ahli Majlis UTB, pegawai-pegawai kanan kerajaan, staf dan para pelajar UTB.
Duli Yang Teramat Mulia kemudiannya berkenan mengurniakan sabda perasmian yang disusuli dengan laungan takbir dan tayangan multimedia.
Duli Yang Teramat Mulia seterusnya berkenan menyaksikan pameran Pesta Konvo ke-9 yang bertemakan Towards a Green and Sustainable Future: A Confluence of Creativity and Innovation.
Duli Yang Teramat Mulia turut berkenan melawat gerai pameran Pemodelan Skrin Berangka dan Makmal Fasiliti dan juga pameran Tekstil Tradisional ASEAN yang memaparkan sumbangan daripada Negara Anggota ASEAN dan Timor Leste.
Pesta berkenaan juga dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan oleh kelab pelajar universiti, termasuk Tarian tradisional Brunei, seni mempertahankan diri dan pameran budaya global.
Ikuti berita lanjut dalam Media Permata keluaran Isnin 26 Ogos.