BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah hari ini berangkat ke Republik Singapura bagi menghadiri Program Pemimpin-pemimpin Muda (YLP) ke-10 yang akan diadakan pada 10 hingga 14 September.
Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia menghadiri YLP ke-10 ini adalah atas undangan Perdana Menteri Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Lawrence Wong.
Berangkat dan hadir ke Hangar Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Rimba bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan majlis Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik.
Juga berangkat ialah anak-anda-anakanda Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia iaitu Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa’ Raihaanul Bolkiah.
Sebelum berangkat, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.


Juga berangkat dan hadir ke Hangar Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Rimba bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan majlis Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia ialah pengiran-pengiran cheteria; menteri-menteri kabinet; ahli-ahli Majlis Mesyuarat Di-Raja; Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei; Pemangku Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei; setiausaha-setiausaha tetap dari JPM, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Kementerian Pendidikan.
Sejurus keberangkatan tiba di Kompleks VIP Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua Pendidikan dan Hal Ehwal Luar Negeri Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Dr Mohamad Maliki Osman dan isteri, Saadiah Shahal dan Menteri Negara Kanan di Pejabat Perdana Menteri, Republik Singapura selaku Menteri Pengiring, TYT Desmond Tan dan isteri selaku Lady-in-Attendance.
Turut sama menjunjung keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia ialah Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Republik Singapura, PYT Hajah Noor Qamar binti Haji Sulaiman dan Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam, TYT Lawrence Bay dan isteri.
Semasa lawatan ini, Duli Yang Teramat Mulia akan berangkat menghadiri Majlis Santap Petang yang dihoskan oleh Presiden Republik Singapura, TYT Tharman Shanmugaratnam dan kunjungan hormat kepada TYT Lawrence Wong.
Selain itu, program bagi YLP ke-10 itu termasuk lawatan ke Sentosa Development Cooperation, Jurong Town Corporation (JTC) Summit, Temasek Polytechnic dan Centre of Excellence for Soldier Performance.
YLP merupakan program pertukaran tahunan di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura bagi meningkatkan hubungan dua hala yang telah lama terjalin dan bagi pemimpin-pemimpin pada masa akan datang bertukar-tukar pandangan mengenai kerjasama dua hala, serantau dan pembangunan global serta menerokai peluang-peluang bagi menjana peningkatan ekonomi di Negara Brunei Darussalam.

