Berkenan berangkat ke Sambutan Hari Puja Usia

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani & Infofoto

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 FEB – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah hari ini berkenan berangkat ke Majlis Santap Petang sempena Sambutan Hari Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota ke-46 tahun yang dianjurkan oleh Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), di Mes Pegawai Bolkiah Garison.

Mengiringi DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik.

Keberangkatan tiba DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan Yang Teramat Mulia serta kerabat diraja di Mes Pegawai Bolkiah Garison dijunjung oleh Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud.

Semasa majlis berkenaan, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan menerima junjung ziarah dan beramah mesra bersama para pegawai dan kakitangan ABDB; Pasukan Pemantau Antarabangsa (PPA) ke-15 Negara Brunei Darussalam ke Mindanao, Republik Filipina; anggota-anggota ABDB yang mengikuti penugasan misi pengaman dalam Malaysian Battalion (MALBATT 850-6) bagi misi United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL); para pemenang pingat kejohanan menembak 26th ASEAN Armies Rifles Meets (AARM) di Bandung, Republik Indonesia bagi tahun 2019; penerima RBAF Commendation Award bagi Kursus Maktab Turus ABDB ke-9 tahun 2019; anggota-anggota yang mendapat keputusan cemerlang semasa mengikuti pengajian di Politeknik Brunei dan IBTE; para pemenang pingat semasa Sukan SEA 2019 di Republik Filipina; dan pegawai-pegawai baru ditauliahkan yang menerima anugerah-anugerah terbaik semasa Upacara Sovereign’s Parade bagi Pegawai-pegawai Kadet Pengambilan ke-18, Sekolah Pegawai Kadet ABDB, baru-baru ini.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota kemudiannya berkenan menerima senaskhah buku album gambar bertajuk ‘Sejambak Ristaan XIII’ yang mengandungi koleksi gambar kenangan sempena keberangkatan lawatan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota ke Kementerian Pertahanan dan ABDB, dan diikuti dengan penandatanganan lembaran kenangan.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota juga disembahkan kek puja usia dan berkenan menerima pesambah daripada anggota pegawai ABDB.

Bagi memberkati majlis, Doa Kesyukuran dibacakan oleh Ketua Jabatan Agama ABDB bagi Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), Komander Haji Ainolnizam bin Haji Ibrahim.

Pada akhir majlis, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah serta kerabat diraja menerima junjung ziarah daripada para pegawai dan kakitangan yang hadir dalam majlis tersebut.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, berkenan memotong kek puja usia ketika berangkat ke Majlis Santap Petang sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Puja Usia DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota ke-46 tahun yang dianjurkan oleh Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), di Mes Pegawai Bolkiah Garison. Berangkat sama ialah YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik. – Gambar oleh Muiz Matdani.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan dijunjung bergambar ramai pada Majlis Santap Petang sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Puja Usia DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota ke-46 tahun di Mes Pegawai Bolkiah Garison.

ATAS: DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan menerima pesambah daripada anggota pegawai ABDB.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota , YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan menerima junjung ziarah daripada para pegawai dan kakitangan Kementerian Pertahanan dan ABDB.