Monday, April 14, 2025
26.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan berangkat ke sambutan Hari Raya anjuran Yayasan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 APRIL – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berserta Kerabat Diraja berkenan berangkat bercemar duli ke majlis Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas kelmarin.

    Turut berangkat ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara, Pangiran Muda Haji Sofri Bolkiah.

    Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta kerabat diraja dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof selaku Ahli Jemaah Tadbir Yayasan.

    Seterusnya mengiring Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke Dewan Plenary, ICC adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersama Kerabat Diraja berkenan berangkat tiba ke Majlis Sambutan Hari Raya  anjuran Yayasan kelmarin.

    Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dibacakan oleh Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.  Ini diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan.

    Acara kemuncak majlis berkenaan ialah titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    Seterusnya majlis menyaksikan tayangan video bertajuk Perpaduan Masyarakat Dalam Mencapai Aspirasi Negara yang memperlihatkan penglibatan pelbagai lapisan masyarakat dalam melaksanakan program-program kesukarelawanan, kemasyarakatan, dan pembangunan kapasiti dan sosioekonomi masyarakat ke arah membina masyarakat Brunei yang bersatupadu dan berjaya sejajar dengan pendekatan senegara yang mantap ‘Whole of Nation Approach’ bagi mendukung aspirasi Wawasan Brunei 2035.

    Dengan limpah kurnia perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia majlis tahun ini bertemakan Perpaduan Masyarakat Dalam Mencapai Aspirasi Negara yang mencerminkan komitmen Yayasan untuk menyemarakkan semangat kerjasama, kesatuan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat iaitu dengan menyatukan pelbagai lapisan masyarakat, bagi mewujudkan sinergi yang kuat ke arah mencapai kemajuan bersama, selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035. 

    Dalam mendukung tema berkenaan, Yayasan mengetengahkan beberapa kumpulan peserta yang memainkan peranan penting dalam mendekati dan memahami serta mendepani keperluan masyarakat secara lebih mendalam. 

    Mereka merupakan saluran utama dalam merakit dan menyantuni, merapatkan hubungan, dan membimbing ahli-ahli masyarakat ke arah pembangunan yang lebih holistik. 

    Kumpulan pertama mewakili komuniti tempatan di peringkat akar umbi yang memahami keperluan dan aspirasi penduduk setempat ke arah mengukuhkan nilai kerohanian, keharmonian dan kesejahteraan masyarakat.  Mereka terdiri daripada ahli Jawatankuasa Takmir Masjid dan Surau, ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung serta Pengawas Kejiranan.

    Kumpulan kedua pula terdiri daripada para pengusaha mikro, kecil dan sederhana serta syarikat korporasi tempatan yang melaksanakan program pembangunan ekonomi dan pembinaan kapasiti bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan ke arah membina masa depan masyarakat yang mampan dan berdaya tahan.

    Sementara kumpulan ketiga pula terdiri daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan beberapa syarikat swasta yang melaksanakan program rehabilitasi dan sosioekonomi bagi membantu meningkatkan kualiti hidup masyarakat dan golongan tertentu yang memerlukan bantuan.

    Komitmen dan peranan ketiga-tiga kumpulan peserta tersebut dihasratkan dapat memberikan impak positif terhadap keharmonian dan kesejahteraan masyarakat yang bersatu padu, berdaya tahan, inklusif dan dinamik bagi mencapai aspirasi negara – Wawasan Brunei 2035.

    Majlis diserikan dengan persembahan pentas daripada para pelajar Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah iaitu gabungan daripada kanak-kanak Taman Asuhan Kanak-Kanak, murid-murid Sekolah Rendah dan penuntut-penuntut Sekolah Menengah dengan pimpinan tenaga pengajar sekolah berkenaan.

    Antara persembahan pentas daripada para pelajar semasa majlis berkenaan.

    Sebanyak 20 buah agensi dari sektor kerajaan, swasta dan badan-badan bukan kerajaan telah menyertai pameran yang turut dengan mempersembahkan program-program komuniti, perusahaan sosial, pendidikan, kaunseling, dan inovasi teknologi masing-masing dalam usaha menyokong perpaduan sosial dan pembangunan negara.

    Atas & Bawah: KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan berkenan melawat antara pameran yang diadakan dalam majlis berkenaan.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha seterusnya berkenan beramah mesra dengan semua peserta yang hadir. 

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan berkenan menyaksikan antara persembahan dalam majlis berkenaan.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan berkenan beramah mesra dengan antara peserta yang hadir. Turut mengiringi adalah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah. – GAMBAR-GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri berkenaan diadakan buat kali ke-21 dan telah dianjurkan sejak 2003 dengan mengumpulkan para peserta daripada latar belakang yang berbeza setiap tahun dalam memberikan kesempatan kepada mereka untuk bersua muka dan beramah mesra dengan raja yang sangat dikasihi dan menyembahkan junjung kasih Kehadapan Majlis Baginda dalam suasana yang lebih mesra dan meriah. 

    Turut hadir dalam majlis ini ialah para pengiran cheteria, menteri kabinet, timbalan tenteri, setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap serta jemputan khas.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda