Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan berangkat ke Sambutan HPA ke-30

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, telah berkenan ke Sambutan Kemuncak Hari Perkhidmatan Awam (HPA) ke-30 Tahun 2023 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

    Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota
    Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

    Keberangkatan Baginda Sultan dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar dan Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku pengerusi bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan HPA ke-30.

    Turut menjunjung keberangkatan ialah Timbalan Menteri (Urus Tadbir Perkhidmatan Awam) di JPM, Dato Seri Paduka Awang Mohamed Riza bin Dato Paduka Haji Mohamed Yunos dan Timbalan Menteri (Tenaga) di JPM, Haji Mohd Azmi bin Haji Mohd Hanifah selaku timbalan pengerusi bersama jawatankuasa tertinggi sambutan berkenaan.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned dikhususkan untuk Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien serta pegawai dan kakitangan kerajaan yang telah kembali ke rahmatullah.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menyaksikan Pameran Khas HPA. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan hadiah pemenang tempat kedua Anugerah Inovasi Perdana Tahun 2023 kepada Kumpulan Lakas Dengan Klik dari Jabatan Pengangkutan Darat, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan Anugerah Program Penggredan Prestasi Sektor Awam (3PSA) kepada Jabatan Perancang Bandar dan Desa. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    ATAS & BAWAH: Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menganugerahkan Anugerah Pekerja Cemerlang Perkhidmatan Awam kepada para penerima. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan dijunjung berangkat bagi menyaksikan pameran. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan dijunjung berangkat bagi menyaksikan pameran. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah berkenan menyaksikan pameran sempena Sambutan HPA ke-30. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah berkenan dijunjung berangkat bagi menyaksikan pameran. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Kemudian, majlis diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran daripada Surah Ali’ Imran, ayat 102 hingga 105 yang dibacakan oleh Pegawai Pelajaran di Kementerian Pendidikan, Pengiran Muhammad Amirul Aiman bin Pengiran Haji Marjuki.

    Sementara kesimpulan ayat dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Muhammad Tsuuifiy bin Haji Abdul Wahab.

    Pada majlis itu, Baginda Sultan berkenan mengurniakan hadiah-hadiah dan penghargaan kepada para penerima Anugerah Perkhidmatan Awam iaitu Anugerah Penghargaan Khas Jasawan Perkhidmatan Awam (APKJPA); Program Penggredan Prestasi Sektor Awam (3PSA) melalui Penarafan Bintang, Anugerah Inovasi Perdana (AIP); Anugerah Pekerja Cemerlang Perkhidmatan Awam (APCPA) dan Anugerah Kakitangan Berjasa dan Berbakti Perkhidmatan Awam (AKB2PA).

    Terdahulu itu, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi dalam sembah alu-aluan antara lain menyembahkan, majlis sambutan tahun ini mengetengahkan satu anugerah khas iaitu APKJPA.

    “Anugerah yang berprestij serta julung kalinya itu adalah bagi menghargai dan mengiktiraf individu terpilih yang telah banyak menabur jasa dan mengerah tenaga ke arah perkembangan dan kemajuan perkhidmatan awam dan Negara Brunei Darussalam, baik di peringkat serantau mahupun antarabangsa,” jelasnya.

    Beliau seterusnya menyembahkan mengenai tema baharu sambutan iaitu ‘Keberdayatahanan dan Perpaduan Perkhidmatan Awam Pemangkin Kesejahteraan Negara,’ dan logo HPA baharu.

    “Dalam konteks keberdayatahanan perkhidmatan awam itu sendiri, perkembangan yang ketara dapat dilihat dengan meningkatnya penyediaan perkhidmatan-perkhidmatan secara dalam talian yang merentasi agensi-agensi kerajaan di negara ini.

    “Momentum perlaksanaan pasca COVID-19 masih terus dipraktikkan malah ditambah nilai dengan ciri-ciri baharu dalam memperkesankan lagi penyampaiannya serta lebih mesra pelanggan,” jelas Yang Berhormat Pehin.

    Majlis sambutan turut diserikan dengan tayangan klip video mengenai tema baharu HPA serta anugerah-anugerah perkhidmatan awam.

    Baginda kemudian dijunjung berangkat ke Pameran Khas HPA yang mengetengahkan tema baharu sambutan, menelusuri sejarah, perubahan dan pembaharuan perkhidmatan awam dan diterjemahkan menerusi tiga era dalam evolusi perkhidmatan awam negara ini.

    Sebelum berangkat balik, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan dijunjung bagi sesi bergambar ramai dan menghadiri majlis santap.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda