Tuesday, October 1, 2024
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan berangkat ke Sambutan HPA ke-31

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, telah berkenan berangkat ke Sambutan Kemuncak Hari Perkhidmatan Awam (HPA) ke-31 Tahun 2024 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

    Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah, serta Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.

    Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan Menteri di JPM dan Menteri Kewangan Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, selaku pengerusi bersama Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan HPA kali ke-31, Tahun 2024.

    Turut menjunjung, Timbalan Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di JPM, Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos; Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-undang) di JPM, Dato Seri Paduka Haji Sufian bin Haji Sabtu; dan Timbalan Menteri (Tenaga) di JPM, Dato Seri Paduka Haji Azmi bin Haji Mohamad Hanifah, selaku timbalan-timbalan pengerusi bersama Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan HPA kali ke-31 Tahun 2024.

    Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran daripada Surah Al-Anfaal, ayat 45 hingga ayat 47 oleh Pegawai Pelajaran, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Zul-Hafiz bin Awang Tengah, sementara kesimpulan ayat pula dibacakan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, KHEU, Haji Awang Muhammad Najib bin Haji Awang.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah berkenan melancarkan buku keluaran khas Jasawan Perkhidmatan Awam semasa Sambutan Kemuncak Hari Perkhidmatan Awam (HPA) ke-31 Tahun 2024 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan dijunjung bergambar ramai semasa Majlis Sambutan Kemuncak HPA ke-31 Tahun 2024 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas. Turut berangkat DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah serta YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    ATAS & BAWAH: Baginda Sultan berkenan mengurniakan sijil penghargaan kepada penerima-penerima anugerah HPA ke 31, tahun ini. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Baginda Sultan berkenan dijunjung bergambar ramai bersama kakitangan Perkhidmatan Awam pada majlis berkenaan. Berangkat sama ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Baginda Sultan berkenan dijunjung beramah mesra dengan kakitangan awam. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Buku Jasawan Perkhidmatan Awam: Meneruskan Legasi Sultan Omar ‘Ali Saifuddien III Tokoh Jasawan Negara yang dilancarkan semasa majlis tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Majlis diteruskan dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua.

    Di majlis itu, Baginda berkenan mengurniakan titah seterusnya berkenan melancarkan buku keluaran khas Jasawan Perkhidmatan Awam.

    Majlis kemudian diikuti dengan sebuah tayangan video mengenai perisian buku tersebut, di mana buku keluaran khas bertajuk Jasawan Perkhidmatan Awam: Meneruskan Legasi Sultan Omar ‘Ali Saifuddien III Tokoh Jasawan Negara adalah bagi mengenang dan memberikan penghargaan ke atas sumbangan Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien yang dimasyhurkan sebagai Tokoh Jasawan Negara pada Sambutan HPA ke-30 yang lalu dalam melakar pelbagai kemajuan, khususnya dalam sektor agama, pendidikan, pertahanan, pentadbiran awam dan kebajikan, untuk rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.

    Usaha-usaha dan sumbangan Al-Marhum di sepanjang pemerintahan beliau dalam pelbagai bidang berkenaan menjadikan Negara Brunei Darussalam membangun dengan pesatnya serta mendatangkan impak yang besar kepada kestabilan, kemakmuran, kemajuan dan perkembangan sosioekonomi negara yang terus dinikmati oleh rakyat dan penduduk negara ini.

    Majlis diserikan dengan persembahan menambang syair bertajuk Syair Perlembagaan Negeri Brunei telah disampaikan oleh Guru Ugama Tingkat I, Jabatan Pengajian Islam, Awang Mohammad Jazmeen bin Tassim; dan Mahasiswi Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dayang Halimatus Rabeatul Saiedah binti Huzaimi.

    Kemudian majlis diserikan dengan tayangan klip video anugerah-anugerah Perkhidmatan Awam (3PSA, AIP, APCPA dan AKB2PA) dan seterusnya Baginda berkenan mengurniakan hadiah-hadiah dan sijil-sijil penghargaan kepada penerima-penerima anugerah HPA ke-31, tahun ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda