Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani, Sim Y.H. & Infofoto
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Feb – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM), hari ini, berkenan berangkat bagi membuat lawatan kerja ke Mukim Serasa dan Tapak Projek Loji Penapis Minyak dan Petrokimia di Pulau Muara Besar (PMB).
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Mahkota di Masjid Setia Ali, Pekan Muara dijunjung oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Suhaimi bin Haji Gafar dan Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof.
Hadir sama menjunjung keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; Menteri di JPM, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah; Menteri Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein serta ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman@Othman selaku Ketua Kampung Masjid Lama Pekan Muara, Sabun dan Pelumpong Zon 2.
Sejurus ketibaan, Doa Selamat dibacakan oleh Ketua Imam Masjid Setia Ali, Pekan Muara, Awang Nasehin bin Haji Yahya sebelum keberangkatan lawatan kerja dimulakan.
Duli Yang Teramat Mulia mula-mula dijunjung bagi meninjau keadaan Jalan Serasa serta Jalan Perusahaan Serasa dan kemudiannya berkenan mendengar sembah penerangan ringkas mengenai dengan projek membaik pulih Jalan Perusahaan Serasa dan juga projek Jalan Serasa oleh Pemangku Pengarah Jalan Raya, Haji Mazlan bin Haji Abdul Salim.
Duli Yang Teramat Mulia seterusnya berkenan mendengar sembah taklimat ringkas mengenai aktiviti-aktiviti pengangkutan dan statistik kesalahan kenderaan berat mengikut Akta 161 Peraturan Lalu Lintas Jalan Raya Penggal 68 di kawasan Serasa Muara hasil penguatkuasaan yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Darat bagi tahun 2017 dan 2018 dengan sembah taklimat disampaikan oleh Pemangku Pengarah Pengangkutan Darat, Haji Rozaly bin Haji Saidon.
Duli Yang Teramat Mulia seterusnya dijunjung berangkat ke Casting Yard Serasa bagi Projek Jambatan Temburong.
Sejurus keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia di sana, Timbalan Menteri Pembangunan, Haji Marzuke bin Haji Mohsin menyembahkan penerangan mengenai kemudahan-kemudahan yang disediakan dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan di Casting Yard Serasa.
Aktiviti utama seperti pembuatan galang kekotak (box girders) bagi projek pembinaan jambatan Temburong telah selesai dilaksanakan.
Duli Yang Teramat Mulia kemudian berkenan menyaksikan box girder sepanjang 50m yang ke-578 (terakhir). Pemasangan box girder itu dilaksanakan pada sebelah petang yang mana ini mencatatkan satu lagi pencapaian penting dalam projek mega ini.
DYTM Pengiran Muda Mahkota seterusnya dijunjung untuk menandatangani lembaran kenangan dan seterusnya dijunjung bagi sesi bergambar ramai.
Selesai lawatan di Casting Yard Serasa, Duli Yang Teramat Mulia kemudiannya berangkat ke Loji Penapis Minyak dan Petrokimia di Taman Perindustrian Pulau Muara Besar.
Peningkatan kerjasama infrastruktur mengenai Loji Penapisan Minyak dan Petrokimia di Pulau Muara Besar adalah salah satu perkara yang telah dibincangkan antara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Presiden Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Xi Jinping, semasa lawatan negaranya ke Negara Brunei Darussalam pada November 2018.
Sejurus keberangkatan tiba di Bilik Kawalan Loji Penapis Minyak dan Petrokimia tersebut, Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Timbalan Menteri Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw dan Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.
Duli Yang Teramat Mulia kemudian dijunjung menandatangani lembaran kenangan selepas berkenan mendengarkan sembah alu-aluan daripada Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny mengenai perkembangan Pulau Muara Besar dan aktiviti-aktiviti projek di pulau tersebut termasuk sumbangan ekonomi dan penjanaan peluang-peluang pekerjaan yang direncanakan daripada projek berkenaan.
Ini diteruskan dengan sembah penerangan daripada Dato Seri Paduka Haji Matsatejo, mengenai perkembangan keseluruhan Pulau Muara Besar dan status perkembangan Loji Penapis Minyak dan Petrokimia setakat ini.
Duli Yang Teramat Mulia seterusnya berkenan mendengar sembah penerangan daripada Setiausaha Tetap (Tenaga), Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Haji Azhar bin Haji Yahya selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Teknikal di bawah Jawatankuasa Pandu Kemajuan Pulau Muara Besar mengenai hal ehwal teknikal berkaitan dengan loji tersebut serta perkembangannya.
Ini diikuti oleh sembah penerangan daripada Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak mengenai dengan peranan dan tugas Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) dalam pengurusan dan pemantauan alam sekitar di Pulau Muara Besar.
Duli Yang Teramat Mulia kemudiannya berkenan mendengar sembah penerangan dan juga disusuli dengan taklimat daripada Inspektor Kanan daripada Autoriti Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kebangsaan (SHENA), Haji Jasrin bin Haji Serudin, mengenai piawaian kesihatan, keselamatan dan alam sekitar (HSE) yang ditetapkan di Pulau Muara Besar.
Selepas itu, Duli Yang Teramat Mulia berkenan mendengar sembah penerangan Setiausaha Tetap (Tenaga Manusia), Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Haji Zolkiflee bin Haji Abdul Karim selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Kesejahteraan di bawah Jawatankuasa Pandu Kemajuan Pulau Muara Besar, mengenai dengan hal ehwal pemeliharaan kebajikan dan kesejahteraan pekerja-pekerja yang ditempatkan di Pulau Muara Besar serta aktiviti-aktiviti keagamaan yang diungkayahkan.
Sembah penerangan ini juga disusuli dengan taklimat ringkas daripada salah seorang operator tempatan daripada Syarikat Hengyi Industries Sdn Bhd, Awang Adib bin Idris, mengenai dengan komitmen syarikat dalam usaha untuk meningkatkan lagi pengambilan pekerja-pekerja tempatan di syarikat berkenaan.
Duli Yang Teramat Mulia kemudiannya dijunjung bagi Majlis Santap yang kemudiannya diikuti dengan sesi bergambar ramai bersama dengan ahli-ahli Jawatankuasa Pandu Kemajuan Pulau Muara Besar, ahli Majlis Mesyuarat Negara, ahli-ahli Jawatankuasa Kerja di bawah Jawatankuasa Pandu Kemajuan Pulau Muara Besar dan pihak pengurusan Syarikat Hengyi Industries Sdn Bhd.
Duli Yang Teramat Mulia kemudiannya berangkat meninjau unit-unit penapis minyak dan pemprosesan petrokimia, jeti-jeti timur dan barat di Pulau Muara Besar dan surau yang dikhaskan bagi pekerja-pekerja lepasan Pusat Pembangunan Kapasiti yang sedang bertugas di Pulau Muara Besar.
Duli Yang Teramat Mulia seterusnya berkenan mempengerusikan sesi perbincangan dengan ahli-ahli Jawatankuasa Pandu Kemajuan Pulau Muara Besar dan pengurusan syarikat usaha sama Hengyi Industries Sdn Bhd.
Di antara perkara lain yang ditekankan dalam sabda Duli Yang Teramat Mulia adalah kemajuan menurut piawaian antarabangsa, kemapanan dan peluang pekerjaan bagi rakyat tempatan yang telah dan akan berkhidmat di Pulau Muara Besar serta sumbangan sosioekonomi projek berkenaan.
Sebelum berangkat balik, Duli Yang Teramat Mulia dijunjung berangkat bagi Majlis Santap Tengah Hari dan kemudiannya berkenan menunaikan Sembahyang Fardu Zuhur berjemaah bersama para pekerja tempatan di Pulau Muara Besar.
Duli Yang Teramat Mulia seterusnya berkenan menerima junjung ziarah daripada 400 orang pekerja di Pulau Muara Besar.
Loji Penapis Minyak dan Petrokimia di Taman Perindustrian Pulau Muara Besar merupakan projek usaha sama dengan pelabur langsung asing yang dikendalikan oleh syarikat usaha sama Hengyi Industries Sdn Bhd yang mana pemegang saham terdiri daripada Damai Holdings Ltd di bawah Strategic Development Capital Fund, Kementerian Kewangan dan Ekonomi dan Syarikat Zhejiang Hengyi Group Co Ltd dari Republik Rakyat China.
Fasa pertama bagi Projek Loji Penapis Minyak dan Petrokimia ini telah pun diluluskan oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada Jun 2011.
Selepas loji tersebut mula beroperasi, ianya akan mengeluarkan produk petroleum bagi penggunaan dalam negara dan juga bagi tujuan pengeksportan ke luar negara.
Jumlah yang dieksport, antara lainnya, akan disalurkan kepada industri pembuatan tekstil di Republik Rakyat China.
Perkembangan dan status pembinaan loji tersebut dan hal ehwal yang berkaitan dengan Taman Perindustrian Pulau Muara Besar adalah dipantau dari semasa ke semasa oleh Jawatankuasa Pandu Kemajuan Pulau Muara Besar yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian dan Menteri Pembangunan.
Keahlian jawatankuasa pandu ini terdiri daripada Menteri Pertahanan Kedua, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Timbalan Menteri Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian.
Pada menjunjung hasrat dan aspirasi Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi meningkatkan lagi peluang-peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan melalui usaha-usaha kerajaan, kini terdapat 276 orang pekerja tempatan yang berkhidmat secara langsung di bawah Syarikat Hengyi Industries Sdn Bhd.
Di masa akan datang, Loji Penapis Minyak dan Petrokimia di Taman Perindustrian Pulau Muara Besar dijangka akan membukakan lebih banyak peluang pekerjaan secara langsung (direct employment) yang baharu pada permulaan operasi, di mana 50 peratus daripadanya adalah dikhaskan bagi pekerja-pekerja tempatan dan direncanakan akan meningkat sehingga mencapai 90 peratus pada masa akan datang.
Perusahaan-perusahaan tempatan juga dijangka akan dimanfaatkan dengan limpah kesan ekonomi melalui penggunaan perkhidmatan dan pembelian barangan daripadanya bagi menampung pengoperasian loji tersebut, yang mana dijangkakan akan menjana 2,400 peluang pekerjaan secara tidak langsung (indirect employment opportunities).
Pada fasa pembinaan sahaja, sebanyak 82 buah perusahaan tempatan telah dianugerahkan kontrak oleh Syarikat Hengyi Industries Sdn Bhd bagi beberapa perkhidmatan termasuk pembekalan barangan berkaitan dengan kerja-kerja pembinaan, perkhidmatan ukuran pembinaan, pembekalan basikal, pembelian bas, penyewaan kenderaan, perkhidmatan ambulans, pembekalan produk kimia, pembersihan, perkhidmatan bot dan lain-lain.
Kesinambungan keberangkatan lawatan-lawatan kerja ini jelas mencerminkan sokongan DYTM Pengiran Muda Mahkota ke arah merealisasikan pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat di negara ini sepertimana yang dihasratkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam mencapai Wawasan Brunei 2035.