Saturday, April 20, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    Berkenan berangkat ke Upacara Perbarisan Tamat Latihan PKBN ke-11

    Oleh Syahmi Hassan

    Gambar oleh Muiz Matdani

     

    TEMBURONG, 16 MAC – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Upacara Perbarisan Tamat Latihan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) Pengambilan ke-11 yang diadakan di Padang Kawad, Kem Latihan PKBN, Batu Apoi, hari ini.

    Baginda Sultan berkenan memeriksa perbarisan tamat latihan PKBN ke-11 yang terdiri daripada seramai 539 pelatih iaitu 403 lelaki dan 136 perempuan.

    ​Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Padang Kawad tersebut dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad; Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali;Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan;Setiausaha Tetap (Kebeliaan) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Haji Zakaria bin Haji Serudin; dan Pemangku Pengarah Khidmat Bakti Negara, Mejar (B) Haji Mohammad bin Dollah.

    ​Upacara dimulakan dengan Hormat Diraja dan disusuli dengan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ‘Allah Peliharakan Sultan’.

    ​Seterusnya, Baginda Sultan berkenan memeriksa perbarisan tamat latihan PKBN ke-11 yang terdiri daripada seramai 539 pelatih iaitu 403 lelaki dan 136 perempuan.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia selanjutnya berkenan menerima tabik hormat daripada perbarisan yang berjalan lalu dalam masa perlahan dan cepat.

    ​Seterusnya, Baginda berkenan mengurniakan titah dan mengurniakan anugerah kepada enam pelatih terbaik iaitu Pelatih Lelaki Terbaik Kawad, 13476 Muhammad Sukhairol Suharae bin Abdulah Suhardi / Platun 7; Pelatih Perempuan Terbaik Kawad, 13590 Nur Insyirah Batrisya binti Hj Zainuddin / Platun 10; Pelatih Lelaki Terbaik Jasmani, 13693 Mohammad Addey bin Someun / Platun 1; Pelatih Perempuan Terbaik Jasmani, 13560 Rabiatul Adawiyah binti Shahminan / Platun 9; Pelatih Lelaki Terbaik Keseluruhan, 13292 Muhammad Nur Iffat Fadlullah bin Fandi / Platun 3; dan Pelatih Perempuan Terbaik Keseluruhan, 13370 Hazirah Maisarah binti Hamdillah / Platun 5.

    Baginda berkenan mengurniakan anugerah kepada Pelatih Lelaki Terbaik Keseluruhan, Muhammad Nur Iffat Fadlullah bin Fandi.
    Baginda berkenan mengurniakan anugerah kepada Pelatih Perempuan Terbaik Keseluruhan, Hazirah Maisarah binti Hamdillah.

    ​Selesai mengurniakan anugerah, Baginda Sultan dijunjung naik ke pentas diraja dan tiga kali daulat untuk Kebawah Duli Yang Maha Mulia dilaungkan.

    ​Upacara diteruskan dengan Doa Selamat dipanjatkan ke hadrat Allah SWT bagi menandakan kesyukuran bahawa upacara perbarisan tamat latihan selesai dijalankan dengan sempurnanya.

    Setelah itu, ​Baginda diberikan Hormat Diraja diikuti dengan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ‘Allah Peliharakan Sultan’ diakhiri dengan perbarisan tamat latihanberjalan lalu dan keluar dari padang kawad perbarisan.

    Baginda kemudiannya dijunjung berangkat ke Ruang Legar, Kem Latihan PKBN bagi menyaksikan pameran-pameran daripada Tim Pusat Pengasingan Komuniti PKBN dan Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan sebelum Baginda dijunjung berangkat ke Bilik Tetamu 1 bagi santap ringan.

    ​Sebelum meninggalkan Majlis, Baginda berkenan menandatangani Buku Lembaran Kenangan dan bergambar ramai bersama para pelatih serta menerima pesembah daripada Pemangku Pengarah Khidmat Bakti Negara sebagai menjunjung kasih di atas keberangkatan Baginda ke Kem Latihan PKBN.

    Baginda berkenan bergambar ramai bersama para pelatih.

    Sejak PKBN ditubuhkan, ia telah mengeluarkan seramai 3,716 alumni PKBN termasuk pengambilan ke-11 ini.

    PKBN Pengambilan Ke-11 telah dikendalikan serta dilaksanakan bermula 27 November 2022 dan berakhir pada 16 Mac 2023.

    Ikuti berita lanjut dalam Media Permata keluaran hari Jumaat.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China kecewa AS guna veto halang Palestin anggotai PBB

    BEIJING, 19 APRIL - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) gagal meluluskan draf resolusi untuk menerima Palestin sebagai anggota rasmi Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)...