BANDAR SERI BEGAWAN, 6 NOV – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pagi tadi berkenan mengurniakan lencana pangkat Leftenan Kolonel kepada paduka anakanda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ’Abdul Mateen.
Majlis Kenaikan Pangkat tersebut telah berlangsung di Mes Pegawai Bolkiah Garison.
Mengiringi keberangkatan Baginda ialah paduka anakanda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM). Turut berangkat sama ialah Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah binti Adam.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Padang Kawad Blok Menara, Kementerian Pertahanan dijunjung oleh Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, dan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan.

DYTM Paduka Seri 920 Leftenan Kolonel (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen merupakan seorang Pegawai Tentera yang profesional dan berdedikasi, ditauliahkan dari Royal Military Academy Sandhurst, United Kingdom (UK).
Duli Yang Teramat Mulia juga merupakan seorang juruterbang bertauliah Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), penerima Lencana Juruterbang Royal Air Force (RAF) dan Lencana Juruterbang TUDB, serta berkelayakan menerbangkan pesawat S70i Blackhawk.
Duli Yang Teramat Mulia merupakan anggota Rejimen Pasukan Khas (RPK) ABDB sejak 28 Oktober 2019 dan berjaya menamatkan All Arms Commando Course (AACC) di Commando Training Centre Royal Marines (CTCRM), Lympstone, UK pada bulan Disember 2021, melayakkan Duli Yang Teramat Mulia menerima Beret Hijau.
Pada Julai 2025, Duli Yang Teramat Mulia telah menamatkan Advanced Command and Staff Course (ACSC) di United Kingdom Defence Academy, Shrivenham, sekali gus memperkukuh pendidikan ketenteraan profesional dan keupayaan kepimpinan Duli Yang Teramat Mulia sebagai pegawai kanan ABDB.


Sebelum majlis dimulakan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima Tabik Hormat Diraja dan seterusnya memeriksa perbarisan kawalan kehormatan yang terdiri dari anggota Tentera Darat Diraja Brunei.

Baginda turut berkenan mengurniakan lencana pangkat kepada 18 pegawai ABDB yang dinaikkan pangkat ke Leftenan Kolonel/Komander, TLDB. Kenaikan pangkat tersebut telah berkuatkuasa mulai 8 Ogos.
Doa Selamat telah dibacakan oleh Leftenan Kolonel Abdul Mujib bin Haji Japar, Pemangku Pengarah Jabatanarah Agama ABDB (JAMA’AT).
Pada penghujung majlis, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bersama ahli-ahli kerabat diraja dijunjung bagi Majlis Santap Ringan bersama Pegawai-pegawai Kanan ABDB yang telah dinaikkan pangkat dan seterusnya menandatangani lembaran kenangan keberangkatan.




