Thursday, December 26, 2024
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan berangkat mengepalai perarakan

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 SEPT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat mengepalai perarakan mengelilingi Bandar Seri Begawan bersempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W. Peringkat Negara bagi Tahun 1445 Hijrah di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara.

    Berangkat sama ialah paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

    Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W. Peringkat Negara Tahun 1445 Hijrah;

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abd Rahman; dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dipimpin oleh Ketua Hakim Syar’ie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.

    Majlis diteruskan dengan sembah alu-aluan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W. Peringkat Negara Tahun 1445 Hijrah.

    Dalam sembah alu-aluan Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin antara lain menyembahkan sembah menjunjung kasih atas keberangkatan Kebawah Duli Tuan Patik ke Perhimpunan Sambutan Maulud Nabi S.A.W. pada pagi 12 Rabi’ul Awal yang merupakan tarikh kelahiran Baginda yang diperingati dan disyukuri.

    Pada masa yang sama Yang Berhormat turut menyembahkan menyentuh mengenai jumlah hitungan penyertaan perarakan pada kali ini melambangkan sanjungan rakyat yang sentiasa bertaat setia mendukung kepimpinan bijaksana dan berwawasan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam suasana dan tarikh yang berkeberkatan bersempenakan Sambutan Maulud Nabi Muhammad, Rasulullah S.A.W. Junjungan yang kita kasihi sambil mengambil hikmah dan pengajaran daripada kenabian serta kerasulan Baginda S.A.W.

    Majlis pada pagi tadi kemudiannya diikuti dengan persembahan Dikir Marhaban dan bacaan Sayyidul Istighfar yang dibawakan oleh Gabungan Pegawai dan Kakitangan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan sebaik sahaja sampai kepada ‘Ya Habibi’ tembakan meriam sebanyak 21 das dilepaskan.

    Manakala Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustafa bin Haji Murat mengepalai bacaan Selawat yang menandakan perarakan akan dimulakan.

    Pada tahun ini seramai 5,037 orang menyertai perarakan terdiri daripada 86 pasukan dalam lima kategori iaitu pasukan tidak bernombor; kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan; institusi pengajian tinggi, maktab, sekolah menengah, sekolah arab, sekolah menengah swasta; kampung-kampung dan masjid; dan persatuan serta sektor swasta.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berserta kerabat-kerabat diraja berkenan mendahului Perarakan Maulud Nabi Muhammad S.A.W. Tahun 1445 Hijrah di ibu negara, hari ini. – Gambar oleh Muiz Matdani
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda