Gambar oleh Infofoto
KUALA LUMPUR, 1 OGOS – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha hari ini, berkenan berangkat meninggalkan Kuala Lumpur, Malaysia selepas menghadiri Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia XVI (ke-16), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Majlis San-tapan Diraja yang telah berlangsung di Istana Negara, Kuala Lumpur.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah.
Turut berangkat mengiringi ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz.
Berangkat di hotel persemayaman bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan majlis Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Bini Hajah Faizah.
Sebelum berangkat meninggalkan hotel persemayaman, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Hadir ke Pangkalan Udara Subang bagi menyembahkan selamat berangkat ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia, Datuk Seri Mohamed Azmin bin Ali dan isteri.
Turut hadir ialah Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Haji Alaihuddin bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Lela Dato Seri Utama Haji Mohd Taha dan datin.
Sebelum berangkat menaiki pesawat khas, Kebawah Duli Yang Maha Mulia
dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri berkenan melintasi Barisan Kawalan Kehormatan Statik yang terdiri daripada anggota Batalion 1 Rejimen Renjer Diraja, Tentera Darat Malaysia.




