Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JUN – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) berkenan berangkat merasmikan Persidangan Antarabangsa Universiti-universiti Islam (ICIU) di Indera Samudra Grand Hall, The Empire Brunei, hari ini.
Berangkat sama ke persidangan itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Pro-Canselor UNISSA.
Semasa perasmian persidangan itu, Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal dalam sembah alu-aluannya antara lain menyembahkan hasrat persidangan itu akan dapat mengadun formula dalam memperkasa mutu dan kualiti sistem pengurusan akademik dan pentadbiran universiti.
Persidangan ICIU itu, katanya, adalah julung kalinya dianjurkan oleh UNISSA dengan kerjasama Pertubuhan Universiti-universiti Islam Asia (AIUA).
“Kita bergerak dalam rumpun Asia yang harmoni dan bersama-sama membangun kepimpinan pendidikan Islam untuk masa depan institusi pengajian tinggi Islam (IPTI) Asia yang mampan,” jelasnya.
Selain itu, persidangan tersebut turut diharap menjadi medan perbincangan dan berkongsi pengalaman terbaik IPTI bagi memperkasa pendidikan Islam khususnya dalam melengkapkan pelajar dengan keperluan pendidikan abad ke-21.
Dalam sembah alu-aluannya, Dr Haji Norarfan turut mengongsikan latar belakang AIUA dan keahlian UNISSA dalam AIUA.
Di persidangan itu, Baginda Sultan berkenan dijunjung berangkat melawat ruang mini pameran yang mempamerkan poster-poster yang berjaya mendapat anugerah terbaik dalam ICIU 2023.
Pameran juga mengongsikan penyelidikan pelajar siswazah dalam bidang halal, pertanian, bahasa Arab dan Al-Quran serta undang-undang, di mana semua penyelidikan ini mempunyai elemen inovasi yang mampu memberikan kemudahan kepada orang
ramai dalam amalan praktikal keagamaan.
Persidangan telah berjaya menarik 125 pembentang dan 350 peserta yang mewakili institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara.