Oleh Salawati Haji Yahya, Sim Y.H. & Syahmi Hassan
Gambar Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Nov – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha hari ini berkenan berangkat ke Perasmian Majlis Ilmu 2017 di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Keberangkatan Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri ke majlis tersebut dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim.
Turut menjunjung ialah Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Pengerusi Jawatankuasa Pandu Majlis Ilmu 2017, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Mufti Kerajaan selaku Penasihat Jawatankuasa Pandu Majlis Ilmu 2017, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Berangkat sama ke majlis itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah.
Turut berangkat ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna.






Majlis diserikan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang disampaikan oleh Dato Paduka Haji Mohd Yusop bin Bakar, Haji Abdullah bin Lakim dan Awang Ahmad Zulwaqar bin Haji Suhaili yang mana kesemua mereka antara qari yang telah mengharumkan nama negara pada tilawah dan musabaqah yang diadakan di dalam dan luar negara.
Manakala kesimpulan maknanya disampaikan oleh Pegawai Istinbat, Jabatan Mufti Kerajaan, Awang Mohd Raimi bin Awang Tengah.
Pada majlis itu, ceramah khas disampaikan oleh Mufti Kerajaan yang bertajuk “Pemerintahan Raja Shaleh Membawa Berkat.”
Ini diikuti dengan ucapan ikrar dilafazkan oleh seramai 71 orang yang terdiri daripada gabungan penjawat awam, pemimpin akar umbi, persatuan, NGO, institusi pengajian tinggi dan persatuan profesional.
Ucapan ikrar ini dilafazkan bagi memantapkan rasa kesetiaan dan cinta rakyat kepada raja yang dikasihi serta bagi menzahirkan rasa syukur terhadap kesejahteraan dan keharmonian selama bernaung di bawah pimpinan Baginda Sultan.
Di samping memupuk semangat berpasukan dan berpersatuan, rakyat Negara Brunei Darussalam sama-sama merasa bertanggungjawab bahawa dalam menanai hal ehwal keagamaan bukan milik Kementerian Hal Ehwal Ugama sahaja tetapi ia merupakan milik nasional tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan, yang mana ia perlu dipikul dan ditanai bersama atas dasar raja adalah ketua agama di negara ini. Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan sebelum Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri serta kerabat diraja berkenan berangkat menyaksikan Pameran Majlis Ilmu 2017 dan Pameran Balai Kenangan.