Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JAN – Masyarakat Tionghua di negara ini mula menyambut Tahun Baharu Cina (TBC) 2025 hari ini bagi mengalu-alukan Tahun Ular dalam kalendar Cina dan sudah menjadi tradisi sambutan diserikan dengan rumah-rumah terbuka.
Sambutan TBC di negara ini turut dimeriahkan dengan keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah ke majlis rumah terbuka beberapa orang pembesar negara dan ahli perniagaan ternama.
Berangkat sama ialah anakanda-anakanda, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa’ Raihaanul Bolkiah.
Antara rumah yang dikunjungi ialah kediaman Pengarah Urusan Goh Hock Kee Motors Sdn Bhd, Yang Dimuliakan Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin dan Datin Chang Nyuk Kee dan kediaman Pengarah Urusan D’Sunlit Sdn Bhd, Jackson Ting di Kampung Sungai Besar, Kota Batu.
Turut dikunjungi adalah kediaman Pengarah Urusan Bayu Ilham Motors Sdn Bhd, Chieng Ing Nang di Kampung Jangsak; Pengerusi Tiong Jaya, Lee Kok Tiong di Jalan Ban 1, Kampung Kilanas dan Koh Shun Siong dari Syarikat Ilufah Aquarium & Trading Co.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berserta anakanda-anakanda turut mengunjungi rumah terbuka Lim Han Chiong iaitu Presiden Dewan Perniagaan Cina Brunei dan merupakan Pendaftar Perkahwinan Cina.
Pada majlis-majlis rumah terbuka berkenaan, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan menyertai menggaul yee sang sebagai tradisi sambutan.