Berkenan berangkat pulang

JAKARTA, 20 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat meninggalkan Jakarta, Republik Indonesia setelah berkenan menghadiri Upacara Pelantikan Rasmi Presiden Republik Indonesia ke-8, Tuan Yang Terutama Joko Widodo.

Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

Sebelum berangkat meninggalkan hotel persemayaman, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II (Kedua), Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Yussof bin Haji Abdul Rahman; Direktur Jeneral Kerjasama ASEAN, Kementerian Luar Negeri, Republik Indonesia, Jose Morato Tavares serta pegawai dan kakitangan Kedutaan Negara Brunei Darussalam di Jakarta.

Doa Selamat dibacakan sebelum Baginda Sultan dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berangkat meninggalkan hotel persemayaman.
Baginda Sultan dijunjung berangkat balik oleh Jose Morato Tavares. Turut berangkat ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.