Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JUN – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) berkenan berangkat ke Majlis Ramah Mesra Aidilfitri AMBD, hari ini.
Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia ke Dewan Bankuet, JPM itu dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong selaku timbalan pengerusi Lembaga Pengarah AMBD.
Turut menjunjung keberangkatan ialah Menteri di JPM, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, ahli-ahli Lembaga Pengarah AMBD, pihak pengurusan kanan AMBD dan pegawai serta kakitangan AMBD.
Sebelum berangkat ke Dewan Bankuet, Duli Yang Teramat Mulia berkenan bergambar ramai bersama ahli-ahli Lembaga Pengarah AMBD serta pihak pengurusan kanan AMBD.
Di majlis itu, Duli Yang Teramat Mulia turut dijunjung untuk sesi bergambar ramai bersama warga AMBD di pondok gambar seterusnya menerima pesambah daripada Pengarah Urusan AMBD, Hajah Rokiah binti Haji Badar.
Majlis tersebut diadakan bukan sahaja sebagai platform bagi lembaga pengarah serta pihak pengurusan AMBD untuk menyambut bulan Syawal bersama pegawai dan kakitangan AMBD, tetapi juga merupakan tanda penghargaan di atas dedikasi dan komitmen warga AMBD dalam menyumbang kepada objektif AMBD sepanjang dekad yang lalu sejak penubuhannya pada 1 Januari 2011.