Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 NOV – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Pembukaan Fasiliti yang dinaik taraf bagi Pengisaran Padi Syarikat Wasan Milling Company Sdn Bhd (WMC) yang terletak di Kawasan Kemajuan Pertanian Wasan, hari ini.
Berangkat sama ke Majlis Perasmian berkenaan, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Majlis berkenaan menandakan kemajuan penting bagi negara dalam usaha mencapai tahap sara diri dalam pengeluaran beras.


Keberangkatan Baginda Sultan dan Kerabat Diraja dijunjung oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku Pengerusi Syarikat Darussalam Assets Sdn Bhd bersama Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha selaku Pemangku Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan.
Sejurus keberangkatan tiba, Baginda Sultan dijunjung berangkat bagi merasmikan pembungkusan beras baharu Syarikat WMC dan seterusnya menyaksikan sembah penerangan daripada Syarikat WMC.
Baginda Sultan kemudian dijunjung berangkat bagi memulakan lawatan ke fasiliti yang di naik taraf, yang merangkumi fasiliti pengisaran, empat mesin pengeringan (vertical dryer) dan 3 silo untuk penyimpanan padi kering.





Pada majlis itu, Baginda Sultan berkenan mengunjungi pameran-pameran syarikat-syarikat tempatan yang antara lain mempamerkan penggunaan pertanian pintar (Smart Farming) dan kecerdasan buatan (AI) di sektor pertanian di negara ini.
Inisiatif itu menggambarkan usaha berterusan sektor pertanian tempatan dalam mengadaptasi teknologi moden bagi meningkatkan kecekapan, produktiviti serta kemampanan industri pertanian di Negara Brunei Darussalam.
Projek pembinaan menaik taraf fasiliti pengisaran padi berkenaan, bermula pada Mei 2023 dan siap sepenuhnya pada September 2025.



Dengan adanya fasiliti yang dinaik taraf itu, ia akan dapat meningkatkan kapasiti pengisaran padi negara daripada 3 tan metrik sejam kepada 10 tan metrik sejam, yang mana dijangka akan dapat menyumbang secara signifikan kepada peningkatan tahap sara diri negara untuk beras daripada 6 peratus kepada 20 peratus menjelang 2027.
Fasiliti itu juga akan dapat menyokong sasaran keselamatan makanan di Negara Brunei Darussalam dengan mengurangkan kebergantungan terhadap beras yang diimport serta mencapai aspirasi negara.
Ini adalah penting kerana kebergantungan negara terhadap beras import menimbulkan risiko yang besar terhadap keselamatan makanan terutamanya dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global dan perubahan iklim.


Fasiliti itu akan mengukuhkan rantaian nilai pertanian negara dan menjamin masa depan makanan yang lebih teguh untuk generasi akan datang.
Turut hadir pada majlis perasmian itu, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Duta-Duta Besar, Timbalan-timbalan Menteri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan serta jemputan.
