Oleh Nurdiyanah R. –
TUTONG, 22 OGOS – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Pro-Canselor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Mahrajan Hafl Al-Takharruj (MHT) ke-13 di Kampus Sinaut UNISSA, Daerah Tutong, hari ini.
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia di Ruang Legar Pusat Makmal Saintifik Ibnu Sina, Kampus Sinaut UNISSA dijunjung oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh selaku Pengerusi Majlis UNISSA dan Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi MHT ke-13 UNISSA.
Majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa yang dipimpin oleh Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.
Duli Yang Teramat Mulia kemudiannya berkenan mengurniakan sabda perasmian dan seterusnya menyaksikan tayangan video pelancaran MHT ke-13 dengan tema ‘Transformasi Masa Depan Pertanian Moden dan Sekuriti Makanan Halal: Menguasai Horizon Baharu’ serta menandatangani lembaran kenangan Perasmian MHT ke-13 UNISSA.
Pemilihan tema itu adalah bagi menonjolkan usaha UNISSA ke arah menjadi sebuah universiti ke hadapan yang dapat menyumbang kepada pemodenan dan kemajuan bidang pertanian, pada masa yang sama memastikan ketersediaan dan keselamatan makanan yang mematuhi undang-undang pemakanan Islam (halal) untuk memenuhi keperluan pengguna Islam.












Sejurus selepas itu, Duli Yang Teramat Mulia berkenan berangkat menyaksikan pameran mengenai Fakulti Pertanian dan Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban (PPHT) sebelum berangkat ke Pusat Makmal Saintifik Ibnu Sina bagi meninjau kajian-kajian makmal yang dijalankan oleh mahasiswa dan mahasiswi fakulti dan pusat berkenaan termasuk kajian mengenai pengolahan sisa pertanian untuk meningkatkan produktiviti tanah dan tanaman di negara ini dan analisa produk makanan yang diubah suai secara genetik.
Duli Yang Teramat Mulia kemudian berangkat ke kawasan Kolam Akuakultur, Kampus Sinaut UNISSA dan menanam pokok bucida, juga dikenali sebagai pokok doa, seterusnya menyaksikan aktiviti melepaskan ikan air tawar oleh para mahasiswa Fakulti Pertanian.
Seterusnya, Duli Yang Teramat Mulia turut berkenan melawat Rumah Herba yang mempamerkan sebanyak 94 koleksi tumbuhan herba termasuk ulam-ulaman seperti rancah-rancah, gajus dan pegaga.
Koleksi herba hutan seperti kunyit hantu, tapak unta, dan tawar-tawar juga dipamerkan. Rumah Herba yang diungkayahkan oleh Fakulti Pertanian UNISSA itu bertujuan untuk menyokong pengajaran serta penyelidikan tumbuhan perubatan herba yang berkaitan dengan aplikasi pertanian dan perubatan moden.
Duli Yang Teramat Mulia kemudian berkenan menyaksikan pameran berkonsepkan urban farming dan teknik tanaman moden yang dibina oleh mahasiswa dan mahasiswi Fakulti Pertanian iaitu tanaman trellis dan sistem pertanian menegak.
Antara tanaman yang dipamerkan adalah pudina, basil, selada, kacang panjang dan bunga telang.
Duli Yang Teramat Mulia seterusnya disembahkan dengan pameran lain termasuk aktiviti kompos yang terhasil daripada sisa makanan, potongan rumput dan daun kering, paparan koleksi pepijat dan serangga bermanfaat yang diawet, serta pencapaian penyelidikan Fakulti Pertanian dan PPHT.
Kemudian, Duli Yang Teramat Mulia juga disembahkan dengan pameran Penyelidikan Inovasi Halal di Galeri Al-Azhar.
Pameran tersebut mengetengahkan penyelidikan-penyelidikan yang dikendalikan oleh beberapa pelajar dari PPHT dan telah memenangi beberapa anugerah dalam pertandingan-pertandingan inovasi antarabangsa.
Di samping menyaksikan pameran, Duli Yang Teramat Mulia juga berkenan melancarkan 31 buah buku dalam pelbagai bidang yang telah dihasilkan oleh beberapa orang penulis dalam dan luar negara.
Daripada jumlah itu, sebanyak 11 buah buku dalam bahasa Melayu, 10 dalam bahasa Inggeris, tiga dalam bahasa Arab, sebuah monograf al-Shafii dan enam buah jurnal.
Duli Yang Teramat Mulia kemudian berkenan beramah mesra bersama tenaga akademik serta mahasiswa dan mahasiswi UNISSA.
Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Duli Yang Teramat Mulia berkenan menerima pesambah berupa dron yang disembahkan oleh Rektor UNISSA.
MHT tahun ini dikendalikan oleh Fakulti Pertanian dan PPHT dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) UNISSA.
MHT pada lazimnya dianjurkan setiap tahun bagi meraikan mahasiswa dan mahasiswi yang telah menamatkan pengajian di UNISSA sekali gus bagi memeriahkan lagi Majlis Hafl Al-Takharruj atau Majlis Konvokesyen UNISSA yang akan berlangsung pada 30 Ogos.
Oleh yang demikian, orang ramai adalah dialu-alukan untuk datang ke MHT ke-13 UNISSA yang diadakan sehingga 25 Ogos ini dari 9 pagi hingga 5 petang di kampus tersebut.

