Thursday, September 19, 2024
26.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan berangkat ke perasmian Majlis Ilmu 2024

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 SEPT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan berangkat ke perasmian Majlis Ilmu 2024 di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.

    Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik.

    Keberangkatan tiba Baginda Sultan dan kerabat diraja dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris selaku Penasihat Bersama Jawatankuasa Pandu Majlis Ilmu 2024.

    Turut menjunjung keberangkatan ialah pengerusi-pengerusi bersama Jawatankuasa Pandu Majlis Ilmu 2024 iaitu Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Muhammad Isham bin Haji Jaafar; Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohammad serta Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman yang juga selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-78.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan dijunjung bergambar ramai selepas perasmian Majlis Ilmu 2024. – GAMBAR-GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Majlis dimulakan dengan bacaan Doa Selamat oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned juga selaku Penasihat Bersama Jawatankuasa Pandu Majlis Ilmu 2024.

    Ini diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, Surah At-Taubah, ayat 38 hingga 40 oleh Pegawai Pendidikan Ugama, Pengiran Muhd Amirul Aiman bin Pengiran Haji Marjuki, manakala kesimpulan ayat pula dibacakan oleh Pegawai Pendidikan Ugama, Awang Abdul Mu’min bin Haji Awang.

    Majlis diteruskan dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi yang antaranya menjelaskan bahawa Majlis Ilmu pada tahun ini membawa tema Menangani Gejala Mental yang memfokuskan kepada aspek kesihatan mental.

    Dalam sembah alu-aluannya, Yang Berhormat Pehin turut mengongsikan bahawa kadar kemurungan dan kebimbangan meningkat lebih 25 peratus pada tahun pertama pandemik COVID-19, yang menambah kepada jumlah hampir satu bilion individu yang kini hidup dengan gangguan mental.

    Beliau turut menegaskan usaha negara melalui pendekatan senegara dalam menangani gejala mental, melibatkan kaedah perubatan bersepadu antara Islam dan sains.

    Kemudian, Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah dan melancarkan buku Majlis Ilmu: Menyambut Hari Keputeraan Raja dengan Semangat Ilal Hijrah dan Amalan Penjagaan Kesejahteraan Minda dan Emosi: Buku Panduan Doa dan Zikir, diikuti dengan sebuah tayangan video mengenai perisian buku tersebut.

    Baginda Sultan semasa berkenan merasmikan pelancaran buku
    Buku Majlis Ilmu: Menyambut Hari Keputeraan Raja dengan Semangat Ilal Hijrah dan Amalan Penjagaan Kesejahteraan Minda dan Emosi: Buku Panduan Doa dan Zikir. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Majlis diteruskan dengan ceramah khas oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan bertajuk Menangani Gejala Mental.

    Baginda Sultan dan kerabat diraja kemudian berkenan berangkat menyaksikan Pameran Majlis Ilmu 2024, yang bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kesihatan mental dalam kehidupan seharian serta mengetengahkan perjalanan kehidupan melalui ‘Terowong Kehidupan’, yang menggambarkan liku-liku perjalanan kesihatan mental dari pelbagai perspektif.

    Baginda Sultan dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota ketika berkenan menyaksikan pameran Majlis Ilmu.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan berangkat bagi menyaksikan pameran.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan berangkat bagi menyaksikan pameran.

    Sebelum berangkat balik, Baginda Sultan dan kerabat diraja dijunjung bagi sesi bergambar ramai dan menghadiri Majlis Santap.

    Baginda Sultan ketika berkenan dijunjung berswafoto.

    Majlis ilmu pada tahun ini akan diteruskan lagi dengan Forum Perdana Majlis Ilmu 2024 pada 19 September dan Ceramah Perdana Majlis Ilmu 2024 pada 21 September ini.

    Pameran Majlis Ilmu akan dibuka kepada orang ramai mulai 18 September hingga 3 Oktober.

    Majlis Ilmu tahun ini diterajui bersama oleh JPM, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Kementerian Pendidikan dan KKBS.

    Atas & Bawah: Antara jemputan yang hadir pada majlis tersebut. – GAMBAR-GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda