Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MEI – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan berangkat menyaksikan Festival Renang Sekolah-sekolah Rendah Brunei Darussalam Tahun 2023 yang berlangsung di Kolam Renang Kebangsaan, Kompleks Sukan Hassanal Bolkiah, Berakas, hari ini.
Turut berangkat menyaksikan festival renang berkenaan ialah Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa’ Raihaanul Bolkiah.
Turut menyertai festival tersebut ialah Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman yang bertanding dalam tujuh acara renang.
YTM Pengiran Muda Muhammad Aiman berjaya merangkul pingat gangsa dalam acara kuak dada 50 meter bagi lelaki peringkat umur lapan tahun selepas mencatat masa 1 minit 25 saat.
Festival yang buat julung kalinya diadakan adalah dibukakan kepada pelajar sekolah rendah yang berumur antara tujuh hingga 11 tahun pada 2023 dan disertai oleh 151 orang pelajar daripada 12 buah sekolah rendah kerajaan dan swasta yang dianjurkan bersama oleh Kementerian Pendidikan melalui Bahagian Jasmani dan Rekreasi, Jabatan Pendidikan Kokurikulum dan Persatuan Renang Amatur Brunei Darussalam (BASA).
Hadir bagi menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Pemangku Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan, Awang Julaihi bin Mohamad/Mohamat.
Matlamat festival diadakan adalah untuk mengenal pasti pelajar-pelajar yang berpotensi dan berbakat dalam sukan renang bagi mewakili Pasukan Renang Majlis Sukan Sekolah-sekolah Brunei Darussalam (MSSSBD) ke festival-festival di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa.
Manakala, tujuan festival ini adalah untuk mencungkil bakat dan potensi pelajar dalam sukan renang, meningkatkan kerjasama dan mengukuhkan rangkaian kerjasama antara institusi-institusi pendidikan di Negara Brunei Darussalam melalui aktiviti sukan renang, meningkatkan dan mengukuhkan rangkaian kerjasama antara Kementerian Pendidikan dengan agensi-agensi berkaitan dalam usaha menerapkan pendidikan melalui sukan renang serta menyokong wawasan negara 2035 dalam memastikan kehidupan yang sihat untuk meningkatkan kualiti hidup secara amnya.