Oleh Siti Nur Wasimah S.
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Nov – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, hari ini, berkenan berangkat ke Majlis Forum Perdana, Majlis Ilmu 2017 di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.
Turut berangkat, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik.
Keberangkatan tiba DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota telah dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim; Menteri Hal Ehwal Ugama selaku pengerusi Jawatankuasa Pandu Majlis Ilmu 2017, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Mufti Kerajaan selaku Penasihat Jawatankuasa Pandu Majlis Ilmu 2017, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned; dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Forum Perdana Majlis Ilmu 2017, Dato Seri Paduka Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud.
Dato Seri Paduka Haji Awang Abdul Mokti semasa menyampaikan sembah alu-aluannya menjelaskan, forum perdana yang membawa tema ‘Mendukung Kepimpinan Raja’ itu diisikan dengan sebuah forum perdana bertajuk perbincangan ‘Belia Aset Negara Pendukung Kepimpinan Raja’.
‘Mendukung Kepimpinan Raja,’ jelasnya, merupakan tema yang mengajak rakyat serta penduduk yang bermastautin di negara ini, untuk menyokong dan membantu, dalam apa juga tindak tanduk yang mendorong rakyat selaku hamba Allah S.W.T agar lebih dekat dengan pencipta, selaku rakyat dan penduduk agar lebih kasih dan sayang kepada raja dengan penuh rasa taat setia yang tidak berbelah bahagi, menyokong dan membantu bagi menguatkan keazaman agar negara sentiasa dalam rahmat dan kurnia-Nya juga berkat pemimpin raja yang dikasihi dan disayangi.






“Forum ini juga akan mengupas apakah sumbangan yang dapat dihulur dalam mendukung kepimpinan raja, demi menjunjung sebagaimana hasrat titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika majlis menghadap sempena sambutan Jubli Emas.
“Kewajipan raja berlaku adil kepada rakyat, sementara kewajipan rakyat pula mentaati raja. Raja berkewajipan untuk mengetahui susah senang rakyat, sementara rakyat pula dituntut untuk bersimpati kepada raja. Inilah namanya kewajipan timbal balik untuk kesejahteraan semua. Raja dan rakyat sama-sama memegang amanah besar ini,” sembah beliau lagi.
Di samping itu, forum juga akan melihat bagaimana kepimpinan raja telah berjaya membentuk serta mempengaruhi generasi belia pada masa dahulu, kini dan akan datang.
Ahli panel bagi forum pagi tadi terdiri daripada Mufti Wilayah Persekutuan Malaysia, Sahibus Samahah Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri; Timbalan Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad; Pensyarah di Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah, Universiti Brunei Darussalam (UBD), Pengiran Dr. Hajah Nur-Ashikin binti Pengiran Haji Petra dan Penolong Pensyarah Pusat Pengajian Islam Sultan Omar Ali Saifuddien, UBD, Daie’ Bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei, Awang Hilman bin Haji Salim.
Mempengerusikan forum perdana itu pula ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad.
Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Duli Yang Teramat Mulia serta kerabat diraja yang lain berkenan menyaksikan Pameran Majlis Ilmu 2017 dan Pameran Balai Kenangan.