Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Okt – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini, berkenan berangkat menziarahi jenazah Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Setia Raja Dato Seri Paduka Haji Awang Mohd Ali bin Haji Mohd Daud, di Kampung Serusop.
Allahyarham kembali ke rahmatullah di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) kira-kira pukul 7:45 malam tadi, pada usia 82 tahun.
Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.
Baginda Sultan dan Duli Yang Teramat Mulia juga berkenan menyertai sembahyang Jenazah yang diimamkan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah.
Allahyarham mula berkhidmat dengan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada 1958 dan pernah bertugas sebagai pengawal Imigresen dan Pendaftaran Taraf Kebangsaan, pegawai kanan di Jabatan Setiausaha Sulit dan Laila Rahsia Kebawah Duli Yang Maha Mulia.
Selain itu, Allahyarham pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri pada 1989 hingga 2005.
Allahyarham juga merupakan ahli Majlis Mesyuarat Ugama Islam dan pernah menjadi ahli Jawatankuasa Kehakiman.
Atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Allahyarham telah disampiri gelaran Manteri 32 iaitu ‘Pehin Orang Kaya Setia Raja’ pada 21 Mei 1996.
Sebagai mengenang jasa bakti Allahyarham kepada negara, Baginda juga mengurniakan bintang kebesaran dan pingat kehormatan yang antaranya Darjah Seri Paduka Mahkota Brunei Yang Amat Mulia Darjah Pertama (Dato Seri Paduka).
Selain itu, Darjah Seri Paduka Mahkota Brunei Yang Amat Mulia Darjah Kedua (Dato Paduka), Darjah Paduka Seri Laila Jasa Yang Amat Berjasa Darjah Ketiga, pingat Jasa Kebaktian, Pingat Kerja Lama dan Pingat Pengisytiharan Kemerdekaan.