Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 SEPT- Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menghadiri solat jenazah Allahyarham Leftenan Kolonel (B) Dato Setia Haji Mohd Samid bin Haji Abdul Aziz, yang kembali ke rahmatullah pagi tadi.
Solat jenazah berkenaan diadakan di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Jerudong.
Turut berangkat ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Abdul Malik, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Abdul Mateen, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Khaltum Al-Islam dan Yang Mulia Datin Paduka Seri Dayang Hajah Mariam binti Haji Abdul Aziz.
Solat jenazah dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Allahyarham Dato Setia Haji Mohd Samid bin Haji Abdul Aziz dikenali sebagai antara wira sukan menembak negara yang pernah mengharumkan nama Negara Brunei Darussalam di persada serantau.
Allahyarham pernah mengetuai bacaan ikrar temasya Sukan Asia Tenggara (SEA Games) 1999 yang diadakan di Brunei Darussalam. Selain itu, Allahyarham juga merupakan pemenang pingat emas dalam acara menembak pada Sukan SEA ke-15, sekali gus mencatat sejarah tersendiri dalam dunia sukan negara.
Selain aktif dalam bidang sukan, Allahyarham juga pernah berkhidmat di Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) sebelum bersara daripada perkhidmatan ketenteraan.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Hajah Rafeah binti Haji Aspar , serta enam orang anak, dua daripadanya telah mendahului beliau dan sepuluh orang cucu.
Al-Fatihah disedekahkan kepada beliau dan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.



