Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 APRIL – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha hari ini, berkenan berangkat bercemar duli ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Turut berangkat, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
Berangkat sama, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam.
Majlis yang dianjurkan buat kali ke-20 sejak 2003 itu mengumpulkan para peserta daripada latar belakang yang berbeza dalam memberikan kesempatan kepada mereka menyembahkan junjung kasih dalam suasana yang lebih mesra dan meriah.
Mereka terdiri daripada kumpulan masyarakat yang dikenal pasti dapat memberikan kepentingan dalam menjana kesejahteraan, kebajikan dan kepentingan kepada agama, bangsa dan negara.













Majlis telah dimulakan dengan bacaan Doa Selamat oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan dalam sembah alu-aluannya menjelaskan, tema bagi Majlis Hari Raya Aidilfitri tahun ini iaitu Membudayakan Belia Pemedulian dan Prihatin bertujuan untuk memupuk, membudayakan dan memperkasakan sikap kesukarelawan dan kemasyarakatan dalam kalangan belia.
Salah satu golongan belia yang diketengahkan sebagai peserta pada majlis tahun ini untuk mendukung tema tersebut terdiri daripada para penuntut daripada institusi-institusi pengajian tinggi tempatan yang aktif dalam melaksanakan aktiviti kesukarelawan dan kemasyarakatan dalam apa jua bidang seperti kebajikan, keagamaan, keusahawanan, teknologi, alam sekitar, dan lain-lain.
Seramai 750 orang pelajar daripada 12 buah institusi pengajian tinggi tempatan dan sebahagian lagi terdiri daripada sukarelawan belia dijemput hadir selaku peserta pada majlis berkenaan.
Majlis diteruskan dengan tayangan video bertajuk Membangun Generasi Pemimpin: Membudayakan Belia Pemedulian dan Prihatin yang antara lain memaparkan penglibatan aktif para pelajar dalam aktiviti kesukarelawanan dan kemasyarakatan dalam sama-sama membantu menangani isu-isu pembangunan sosial selari dengan pendekatan senegara yang mantap bagi mendukung aspirasi Wawasan Brunei 2035.
Video tersebut memuatkan segmen khas iaitu kurnia sabda paduka-paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia iaitu DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota; DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan; dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Paduka-paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia membawa mesej inspirasi kepada para golongan belia untuk mengambil peranan dan tampil bersedia bagi menyumbang khidmat masa, idea dan tenaga mahu pun material dalam apa jua program kesukarelawanan dan kemasyarakatan.
Penglibatan aktif paduka-paduka anakanda Baginda dalam program-program kesukarelawanan dan kemasyarakatan dapat memberikan inspirasi dan contoh tauladan terbaik kepada golongan muda belia di negara ini.
Majlis diserikan dengan persembahan pentas daripada para pelajar Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) iaitu gabungan daripada kanak-kanak Taman Asuhan Kanak-kanak, murid-murid sekolah rendah dan penuntut-penuntut sekolah menengah dengan pimpinan tenaga pengajar sekolah YSHHB.
Bersesuaian dengan tema dan kategori peserta yang diketengahkan dalam sambutan pada tahun ini, pameran disertai oleh 12 buah institusi pengajian tinggi tempatan yang mempamerkan program kesukarelawanan dan kemasyarakatan yang dikendalikan oleh para pelajar di institusi masing-masing.
Yayasan juga mempamerkan program kesukarelawan yang melibatkan penyertaan para belia tempatan selaras dengan salah satu tujuan penubuhan Yayasan iaitu bagi mempertingkatkan penglibatan dan penyertaan belia dalam pembangunan masyarakat.
Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri seterusnya berkenan beramah mesra dengan semua peserta yang hadir.
Di samping memberikan kesempatan kepada para peserta untuk beramah mesra dengan raja yang sangat dikasihi, majlis juga setentunya akan memberikan inspirasi dan perangsang kepada para peserta dalam melaksanakan peranan mereka masing-masing.
Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah pengiran-pengiran cheteria, menteri-menteri kabinet dan timbalan menteri, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap serta para jemputan khas.

