Saturday, December 21, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan berjumpa PM Thailand dan Vietnam secara berasingan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang ini berangkat menghadiri Majlis-majlis Perjumpaan Dua Hala secara berasingan bersama Perdana Menteri Thailand, Puan Yang Terutama Paetongtarn Shinawatra dan Perdana Menteri Republik Sosialis Vietnam, Tuan Yang Terutama Pham Minh Chinh.

    Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Semasa Majlis Perjumpaan Dua Hala bersama PYT Perdana Menteri Thailand yang berlangsung di Pusat Konvensyen Nasional (NCC), Baginda bertitah menekankan bahawa kedua-dua buah negara terus mengembangkan kerjasama dalam perdagangan, pendidikan, pertahanan dan pertukaran antara rakyat sejak empat dekad yang lalu.

    Ke arah ini, Baginda mengimbas kembali keberangkatan rasmi Baginda ke Thailand pada April lalu, yang mana kedua-dua negara bersetuju untuk memperluaskan kerjasama dalam sektor pelancongan, pelaburan dan halal.

    Manakala lawatan Kumpulan Wang Pencen Kerajaan Thailand ke Brunei baru-baru ini akan membuka lebih banyak peluang kepada kedua-dua buah negara untuk memperdalam hubungan ekonomi khususnya dalam keselamatan makanan.

    Baginda Sultan semasa berkenan mengadakan perjumpaan bersama TYT Pham Minh Chinh di Hotel Latsavong WandaVista, kelmarin. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    Baginda Sultan semasa berkenan mengadakan perjumpaan bersama PYT Paetongtarn Shinawatra di NCC, Vientiane, kelmarin. – GAMBAR OLEH INFOFOTO

    Selain itu, Baginda menghargai sokongan berterusan Thailand dalam pembekalan beras sejak tahun 1971. Kedua-dua belah pihak sedang meneroka memorandum persefahaman mengenai Kerjasama Halal, yang mana Baginda Sultan teruja menantikannya untuk dimuktamadkan.

    Pertukaran antara rakyat juga berjalan dengan baik, termasuk pertukaran aktif dalam pendidikan dan pertahanan. Di samping itu, Baginda menghargai sumbangan rakyat Thailand kepada pembangunan sosioekonomi Brunei dan Baginda terus mengalu-alukan kedatangan mereka.

    Dalam perjumpaan berasingan, semasa Majlis Perjumpaan Dua Hala bersama TYT Perdana Menteri Republik Sosialis Vietnam di Hotel Latsavong WandaVista, Baginda Sultan bertitah menzahirkan penghargaan atas jemputan-jemputan untuk mengadakan lawatan ke Vietnam, serta menghadiri Forum Masa Depan ASEAN ke-2 pada 2025, dan Baginda berharap untuk melawat negara berkenaan.

    Baginda selanjutnya me-nyampaikan ucapan takziah atas kehilangan nyawa dan kemusnahan yang menimpa Vietnam akibat Taufan Yagi, dengan itu, Negara Brunei Darussalam berbesar hati untuk menghulurkan bantuan.

    Brunei dan Vietnam menikmati perkongsian komprehensif dalam perdagangan, tenaga dan pertukaran antara rakyat. Pelan tindakan yang sedia ada akan mengeratkan lagi kerjasama dalam bidang yang saling bermanfaat. Kedua-dua buah negara juga bekerjasama rapat untuk meluaskan hubungan perdagangan dua hala melalui kerjasama halal, pertanian dan akuakultur.

    Baginda Sultan kemudian menghargai bekalan kapal perkhidmatan tenaga dari Vietnam dan mengharapkan kerjasama yang lebih mendalam dalam aktiviti cari gali minyak dan gas.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda