Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan hadir ke Ceramah Perdana Majlis Ilmu

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Majlis Ilmu 2025 hari ini diteruskan dengan Ceramah Perdana sempena Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-79 yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

    Berkenan hadir ke Ceramah Perdana Majlis Ilmu 2025 ialah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab Rahaman.

    Berangkat sama, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah binti Adam; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri; serta Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Umi Kalthum Al-Islam Bolkiah.

    Atas & Bawah: Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan berangkat ke majlis berkenaan. Turut berangkat sama, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri; serta Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Umi Kalthum Al-Islam Bolkiah.

    Keberangkatan Yang Teramat Mulia dijunjung oleh pengerusi-pengerusi bersama Jawatankuasa Pandu Majlis Ilmu 2025 dan isteri-isteri serta ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Ceramah Perdana Majlis Ilmu 2025.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pegawai Pelajaran Ugama Kanan, Bahagian Kemajuan Syiar Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Datin Dr Hajah Rohanita binti Haji Yaakub

    Acara diteruskan dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pandu Majlis Ilmu 2025.

    Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah menyampaikan sembah alu-aluan.

    Ceramah Perdana bertajuk Wanita dan Sedekah, Jangan Pernah Berpisah disampaikan oleh Penolong Kanan Profesor, Fakulti Sains Halal dan Pelancongan Mampan, Pengarah Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban dan Pemangku Penolong Rektor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Pengiran Dr Hajah Norkhairiah binti Pengiran Haji Hashim, selaku penceramah undangan.

    Pengiran Dr Hajah Norkhairiah meyampaikan ceramah perdana.

    Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri kemudiannya berkenan berangkat menandatangani lembaran kenangan serta berkenan menerima pesambah.

    Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Yang Teramat Mulia berkenan menyaksikan Pameran Majlis Ilmu 2025 dan bergambar ramai bersama Ahli Jawatankuasa Ceramah Perdana Majlis Ilmu 2025.

    Majlis Ilmu pada tahun ini membawa tema Negara Ditanai Dengan Sedekah dan ceramah tersebut merupakan lanjutan daripada Majlis Perasmian Majlis Ilmu pada 25 September dan Forum Perdana Majlis Ilmu pada 27 September.

    Antara yang hadir ke ceramah perdana berkenaan.
    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah dan YTM Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah berkenan menyaksikan pameran selepas ceramah berkenaan. – Gambar oleh Rafi Rosli

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda