Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 April – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke acara Hari Polo Amal 2018 yang diadakan di Royal Brunei Polo and Riding Club, Field II, Jerudong, di sini, hari ini.
Turut berangkat pada acara amal itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
Berangkat sama ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah serta kerabat diraja.
Pasukan Hulk yang diterajui oleh DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar dinobatkan sebagai juara pada akhir perlawanan berkenaan sementara itu Pasukan Black Panther pula berada di tempat kedua dan menyandang tempat ketiga adalah Pasukan Wonder Woman.
Perlawanan polo amal pada petang hari ini menyaksikan sebanyak tiga pasukan bersaing antara satu dengan yang lain. Antara pasukan yang menyertai perlawanan tersebut ialah Pasukan Black Panther, di mana antara barisan pemainnya terdiri daripada DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Qawi.



Semasa acara tersebut, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah berkenan memimpin Pasukan Wonder Woman.
Di samping berlangsungnya perlawanan berkenaan, turut diadakan ialah karnival jualan yang menawarkan pelbagai jenis juadah makanan, pakaian dan sebagainya. Manakala pelbagai jenis aktiviti serta permainan juga disediakan bagi para pengunjung yang hadir ternyata memeriahkan lagi acara pada hari ini.
Acara pada malam tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan daripada Pasukan Pancaragam Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
Hari Polo Amal 2018 diadakan dalam usaha membantu menambah dana Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Al-Maryam (Pusat Ehsan) yang merupakan organisasi amal bukan kerajaan dan bukan berdasarkan keuntungan.