Thursday, September 19, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan hadiri Majlis Ramah Mesra Kor Diplomatik

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OGOS – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, hari ini, berkenan berangkat menghadiri Majlis Ramah Mesra Kor Diplomatik bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-78 yang berlangsung di Dewan Royal Berkshire, Royal Brunei Polo and Riding Club, Jerudong.

    Berkenan berangkat sama ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz.

    Keberangkatan Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri serta kerabat diraja dijunjung oleh Dekan Kor Diplomatik dan juga Duta Jerman ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Gerda Winkler.

    Baginda Sultan, Baginda Raja Isteri serta kerabat diraja kemudian dijunjung berangkat ke Dewan Royal Berkshire, diikuti dengan sembah alu-aluan daripada PYT Gerda Winkler bagi mewakili ahli-ahli Kor Diplomatik yang menyembahkan tanda penghargaan kehadapan majlis Baginda Sultan, Baginda Raja Isteri serta kerabat diraja yang berkenan berangkat ke majlis berkenaan.

    Beliau menyembahkan bahawa Kor Diplomatik amat gembira berpeluang untuk meneruskan tradisi mengadakan majlis resepsi yang juga meraikan hubungan diplomatik yang kukuh negara-negara perwakilan diplomatik dengan Negara Brunei Darussalam.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, kelmarin, berkenan berangkat menghadiri Majlis Ramah Mesra Kor Diplomatik bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-78, di Dewan Royal Berkshire, Royal Brunei Polo and Riding Club, Jerudong. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkenan dijunjung bergambar ramai bersama ahli-ahli Kor Diplomatik pada majlis yang berlangsung di Dewan Royal Berkshire, Royal Brunei Polo and Riding Club, Jerudong. Turut berangkat YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan YAM Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri berkenan menerima pesambah berupa pasu bunga daun emas marmar yang diperoleh dari India. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri berkenan dijunjung beramah mesra dengan ahli Kor Diplomatik pada majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna berkenan dijunjung beramah mesra bersama ahli Kor Diplomatik pada majlis tersebut. Turut hadir YAM Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    TYT Abel Guterres semasa ditemu bual media. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    PYT Gerda Winkler seterusnya menyembahkan ucapan tahniah kehadapan majlis Baginda Sultan atas ulang tahun ke-40 kemerdekaan Negara Brunei Darussalam dan ulang tahun ke-40 penubuhan hubungan diplomatik dengan kebanyakan negara yang mempunyai misi di Brunei.

    Beliau memuji kejayaan pelbagai pencapaian diplomatik serta sokongan yang teguh Brunei bagi ASEAN dalam mencapai matlamat untuk menegakkan ASEAN Centrality.

    PYT Gerda Winkler menambah penubuhan Pusat ASEAN bagi Perubahan Iklim di Bandar Seri Begawan merupakan satu lagi elemen penting sumbangan Brunei kepada ASEAN dengan misi-misi asing akan terus menyokong usaha bekenaan.

    Beliau menyembahkan penghargaan bagi sokongan Brunei kepada kedaulatan undang-undang antarabangsa, prinsip Piagam PBB dan Piagam ASEAN serta sumbangan Brunei untuk menangani perubahan iklim dan melindungi biodiversitinya yang unik.

    Majlis diteruskan dengan menyembahkan pesambah berupa pasu bunga daun emas marmar yang diperoleh dari India kehadapan majlis Baginda Sultan.

    Pasu bunga berkenaan merupakan hasil buatan tangan dalam tradisi agung Jaipur di Rajasthan di mana pasu dihiasi dengan karya daun emas yang rumit yang mengetengahkan motif bunga daripada tradisi India serta mengetengahkan keanggunan abadi ketukangan India.

    Seterusnya Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri serta kerabat diraja berkenan menerima junjung ziarah dan bergambar ramai dengan ahli-ahli Kor Diplomatik.

    Dalam temu bual ringkas bersama Media Permata pada majlis berkenaan, Duta Timor-Leste ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Abel Guterres menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam dan Timor-Leste terus mengukuhkan hubungan persahabatan dan kerjasama dua hala dengan keberangkatan Baginda Sultan ke Timor-Leste Mei lalu, menanamkan benih persahabatan, kerjasama dan hubungan yang lebih erat di antara rakyat kedua-dua buah negara.

    Sebanyak 29 buah negara mempunyai misi diplomatik di Bandar Seri Begawan bagi membina kerjasama, persahabatan dan hubungan berkepentingan bersama di antara negara sahabat dan Negara Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda