Oleh Syahmi Hassan –
SAN FRANCISCO, 17 NOV – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semalam berangkat menghadiri APEC Welcome Reception yang berlangsung di Exploratorium Museum, Pier 15, San Francisco, Amerika Syarikat (AS).
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Exploratorium Museum dialu-alukan oleh Acting Chief of Protocol, Jabatan Negara AS, Ethan Rosenzweig.
Resepsi telah dimulakan dengan ucapan-ucapan ringkas daripada Datuk Bandar San Francisco, London Breed; Gabenor California, Gavin Newsom; Timbalan Presiden AS, Puan Yang Terutama Kamala D Harris dan Presiden AS, Tuan Yang Terutama Joseph R Biden Jr.
Resepsi tersebut dihoskan oleh Bandar San Francisco dan Jawatankuasa Hos APEC San Francisco bagi mengalu-alukan ketua-ketua ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) serta delegasi yang menghadiri Mesyuarat Pemimpin-pemimpin Ekonomi APEC (AELM).