Isnin, 24 November 2025
Klik Lagi

    Berkenan hadiri majlis santap bersama PM Jepun

    TOKYO, JEPUN, 11 MAC – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah malam ini berkenan berangkat menghadiri majlis santap malam yang dihoskan oleh Perdana Menteri Jepun, Tuan Yang Terutama Fumio Kishida dan isteri, Yuko Kishida.

    MAJLIS PERJUMPAAN DENGAN PM JEPUN DAN ISTERI

    Duli Yang Teramat Mulia mula-mula berangkat mengadakan majlis perjumpaan dengan TYT Perdana Menteri Jepun, di mana Duli Yang Teramat Mulia menzahirkan ucapan takziah yang amat mendalam kepada mangsa gempa bumi Fukushima, yang mana Jepun menandakan ulang tahun ke-13 kejadian bencana tersebut pada tahun ini.

    Duli Yang Teramat Mulia dan Tuan Yang Terutama juga berbincang mengenai kerjasama dua hala di antara Negara Brunei Darussalam dan Jepun dalam bidang tenaga, pertukaran antara rakyat, pertahanan dan kerjasama maritim.

    Perbincangan juga termasuk pertukaran pandangan mengenai hal ehwal serantau dan antarabangsa termasuk hubungan dialog ASEAN-Jepun, perkembangan di Myanmar, dan situasi di Palestin.

    Pada atur cara berasingan, Yang Teramat Mulia berkenan berangkat ke majlis perjumpaan bersama Yuko Kishida di Prime Minister’s Residence.

    Terdahulu dari itu, Yang Teramat Mulia dan Yuko Kishida telah menyaksikan demonstrasi Ikebana dan seterusnya melakukan aktiviti penggubahan bunga. Ikebana, juga dikenali sebagai kado, adalah seni merangkai bunga dari Jepun yang melibatkan pemotongan tangkai, daun dan bunga dalam pasu atau kontena untuk mengungkapkan perasaan atau emosi yang tertentu, serupa dengan lukisan atau arca.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan bergambar ramai bersama TYT Fumio Kishida dan Yuko Kishida. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan berangkat ke majlis santap malam yang dihoskan oleh TYT Fumio Kishida dan Yuko Kishida. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berangkat meninggalkan Tokyo malam tadi. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    Doa Selamat dibacakan sebelum DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah serta anakanda-anakanda berangkat meninggalkan tempat persemayaman. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berangkat bersama TYT Fumio Kishida ke Majlis Pertukaran Nota mengenai Aturan Pengecualian Visa. – GAMBAR OLEH INFOTO

    MENYAKSIKAN MAJLIS PERTUKARAN NOTA

    Selesai majlis perjumpaan, Duli Yang Teramat Mulia berangkat bersama TYT PM Jepun bagi menyaksikan Majlis Pertukaran Nota mengenai Aturan Pengecualian Visa.

    Pertukaran nota berkenaan telah dilaksanakan oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Jepun, TYT Haji Shahbudin bin Haji Musa dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke Negara Brunei Darussalam, TYT Maeda Toru.

    Pertukaran nota tersebut membolehkan rakyat Jepun untuk memasuki Negara Brunei Darussalam tanpa keperluan visa selama tempoh 30 hari, yang akan menggalakkan sekali gus memudahkan perjalanan rakyat serta pergerakan barangan dan perkhidmatan antara kedua-dua buah negara.

    MAJLIS SANTAP MALAM

    Kemudian, Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia berangkat bersama TYT PM Jepun dan isteri bagi majlis santap malam.

    Pada majlis tersebut, Duli Yang Teramat Mulia dalam sabda memuji TYT Fumio Kishida atas dedikasi dan komitmennya yang signifikan terhadap hubungan antara kedua-dua buah negara sejak beliau menjadi Menteri Luar Negeri, termasuk semasa keberangkatan rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Jepun tahun lepas.

    Ke arah itu, Duli Yang Teramat Mulia menyatakan keyakinan bahawa hubungan tersebut akan terus diperkukuhkan lagi pada tahun-tahun akan datang di bawah kepimpinan TYT Fumio Kishida.

    Negara Brunei Darussalam dan Jepun menikmati kerjasama yang sangat baik melalui hubungan rapat antara kerabat diraja serta kerajaan dan rakyat.

    Kedua-buah negara akan meraikan 40 tahun hubungan persahabatan pada tahun ini, di mana Duli Yang Teramat Mulia mengesahkan bahawa komitmen bersama untuk meningkatkan hubungan kepada perkongsian strategik serta kerjasama teguh yang telah dibina

    bersama akan memastikan kedayatahanan dalam era yang tidak menentu dan berubah.

    Hubungan yang kekal berlanjutan dan visi bersama untuk bekerjasama dalam bidang tenaga mendahului tarikh penubuhan hubungan diplomatik.

    Negara Brunei Darussalam, sabda Duli Yang Teramat Mulia, menghargai secara mendalam sokongan berterusan Jepun ke arah menghasilkan kerjasama kukuh dalam bidang tenaga yang dinikmati sehingga kini.

    Selain itu, Duli Yang Teramat Mulia turut menzahirkan penghargaan atas sokongan Jepun di bawah Asia Zero Emissions Community (AZEC) dan inisiatif Negara Brunei Darussalam di bawah Pusat Perubahan Iklim ASEAN, dalam merangka dasar-dasar yang bersepadu dan strategik bagi rantau ini.

    Oleh itu, penyelesaian Pertukaran Nota mengenai Aturan Pengecualian Visa berkenaan, sabda Duli Yang Teramat Mulia, akan mengeratkan lagi silaturahim rakyat kedua-dua buah negara, terutamanya dalam meraikan tahun 2024 sebagai Tahun Persahabatan Brunei-Jepun.

    Akhir sekali, mengenai isu-isu serantau, Duli Yang Teramat Mulia menyatakan bahawa Brunei sentiasa menghargai kerjasama dan sokongan Jepun terhadap ASEAN, terutama sekali melalui penubuhan perkongsian komprehensif strategik ke arah memastikan keamanan dan keselamatan.

    Terdahulu itu, Tuan Yang Terutama dalam ucapan telah mengetengahkan persetujuan bersama mengenai pelanjutan pengecualian visa dan hubungan yang telah lama terjalin antara Brunei dan Jepun yang akan menandakan ulang tahun ke-40 pada 2024.

    Tuan Yang Terutama juga menekankan bahawa kerjasama tenaga yang sedia ada adalah signifikan, termasuk ulang tahun ke-50 penghantaran BLNG ke Jepun pada 2022 dan berharap agar kerjasama ini dapat diteruskan.

    Pada penghujung ucapan, Tuan Yang Terutama menyatakan harapan bagi hubungan dua hala antara kedua-dua buah negara untuk diperkembangkan lagi dan seterusnya mengalu-alukan keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia ke Jepun pada masa akan datang.

    KEBERANGKATAN BALIK

    Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia kemudian berangkat bertolak meninggalkan Tokyo selepas menamatkan Keberangkatan Rasmi ke Jepun.

    Berangkat sama ialah Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim; Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman; dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa’ Raihaanul Bolkiah.

    Sebelum berangkat balik, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Awang Hamidon bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Abdul Hamid.

    Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan majlis Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia ialah Duta dan Ketua Protokol bagi Kementerian Luar Negeri Jepun (Head of the Suite of Honour), TYT Shimada Takehiro dan isteri. Turut hadir ialah TYT Maeda Toru dan TYT Haji Shahbudin.

    Kata Kunci

    Popular

    Hiburan

    Priyanka buat gimik sengaja mahu tunjuk imej baik

    Bisnes feri keluarga Song Ji Hyo difitnah

    DPMM FC kalah tipis

    Berita Berkaitan

    DPMM FC kalah tipis

    Oleh James Kon - BANDAR SERI BEAGWAN, 23 NOV –...

    Majlis undi calon ketua kampung

    Oleh Salawati Haji Yahya - BANDAR SERI BEGAWAN, 23 NOV...

    Cabaran Alpha disambut meriah

    Oleh Yusrin Junaidi - BANDAR SERI BEGAWAN, 23 NOV -...

    Peronda pertolongan cemas dilancar

    Oleh Salawati Haji Yahya - BANDAR SERI BEGAWAN, 23 NOV...

    Terkini

    DPMM FC kalah tipis

    Oleh James Kon - BANDAR SERI BEAGWAN, 23 NOV –...

    Kem khas untuk kanak-kanak hidap penyakit autoimun

    CLARYVILLE, NEW YORK - Penyakit autoimun seperti lupus, myositis...

    Enam syarikat batal penerbangan ke Venezuela

    CARACAS, 23 NOV — Enam syarikat penerbangan membatalkan penerbangan...

    Kamera milik mendiang Paus Francis dijual AS$7.5 juta

    VIENNA, 23 NOV - Sebuah kamera milik mendiang Paus...