Oleh Pg Fairol RMF
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Feb – Kedutaan Kesultanan Oman di Brunei Darussalam telah mengadakan ‘Malam Budaya Oman’ di Indera Samudra Grand Hall, Empire Hotel & Country Club di Jerudong, malam ini.
Berkenan berangkat ke majlis berkenaan ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah.
Menjunjung keberangkatan tiba Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin bersama Duta Besar Kesultanan Oman ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Sheikh Ahmed bin Hashil Al-Maskari.
TYT Sheikh Ahmed dalam sembah alu-aluannya mengucapkan tahniah di atas Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-35 dan menyampaikan penghargaan beliau kepada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan juga Dewan Bahasa dan Pustaka yang telah bekerja keras dan komited dalam menyumbangkan kejayaan penyertaan Kesultanan Oman sebagai negara yang diberi penghormatan pada Pesta Buku Brunei kali ini.
Menurut TYT, petak pameran Kesultanan Oman semasa Pesta Buku berkenaan menampilkan pelbagai penerbitan dari Kesultanan Oman dengan memfokuskan budaya, sejarah dan warisan Oman.



Petak pameran tersebut turut menyambut persamaan di antara Brunei dan Oman dari segi pemeliharaan budaya dan nilai tradisi sambil menyelusuri pembangunan dan teknologi.
“Pelbagai penyertaan dari kedua-dua buah negara sejak beberapa tahun sebelum ini dalam beberapa aktiviti intelektual dan budaya yang dianjurkan sama ada di Brunei atau Oman seperti Pesta Muscat, Pesta Pelancongan Salah dan Pesta Buku Muscat yang ketika ini sedang diadakan,” ujar beliau.
Tambahnya, “Pada tahun lepas kami telah diberi keistimewaan sebagai kedutaan pertama yang mengadakan pameran di Muzium Alat Kebesaran Diraja bagi menandakan ulang tahun ke-34 sejak keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Kesultanan Oman pada tahun 1984.
“Nilai kefahaman dan toleransi wujud tatkala membina budaya keamanan yang sebenar, berdasarkan kepercayaan dan prinsip sejagat untuk maruah dan keharmonian manusia.”
Majlis tersebut turut diserikan dengan persembahan muzikal daripada Pancaragam Muzik Omani, persembahan muzik kerjasama Brunei dan Oman dari Pancaragam Muzik Omani dan Senandong Budaya KKBS. Majlis seterusnya menyaksikan pelancaran filem dokumentari kerjasama dua hala di antara Negara Brunei Darussalam dan Kesultanan Oman yang bertajuk ‘Brunei as Viewed by an Omani Lens’ serta dokumentari-dokumentari lainnya sambil menikmati jamuan yang disediakan.
Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah turut berkenan menerima pesambah daripada Undersecretary Ministry of Information, TYT Ali bin Khalfan Al-Jabri.