VIENTIANE, LAOS, 10 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berangkat menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-27, Sidang Kemuncak ASEAN-Republik Korea ke-25 bagi Memperingati Ulang Tahun ke-35 Hubungan Dialog, Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-27 dan Sidang Kemuncak ASEAN Plus Three ke-27, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Nasional (NCC), Vientiane.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
SIDANG KEMUNCAK ASEAN-CHINA KE-27
Sidang kemuncak ini antara lainnya membincangkan mengenai kerjasama ASEAN-China dan hala tuju masa hadapannya, di mana Baginda bertitah menghargai kemajuan yang dicapai dalam meningkatkan kerjasama di bawah Perkongsian Strategik Komprehensif dan seterusnya mengalu-alukan penganjuran aktiviti-aktiviti sempena Tahun Pertukaran Antara Rakyat ASEAN-China, yang sekali gus menyumbang kepada hubungan sosiobudaya yang lebih mendalam.
Menyentuh mengenai prospek pertumbuhan ASEAN dalam ekonomi digital, Baginda menyatakan bahawa ianya dianggarkan akan mencapai satu trilion dolar AS menjelang 2030.
Justeru itu, Baginda menggariskan kepentingan bagi meningkatkan keupayaan digital dan mewujudkan peluang untuk rakyat, khususnya para belia, yang semakin menghayati keusahawanan dan inovasi.
Sehubungan itu, menaiktarafkan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China adalah amat dialu-alukan, terutamanya dalam e-perdagangan dan e-perkhidmatan, sebagai langkah untuk merealisasikan potensi penuh ekonomi digital seluruh rantau.
Dalam mengekalkan pertumbuhan ekonomi, Baginda seterusnya menggariskan kepentingan untuk menangani cabaran yang saling berkaitan seperti keselamatan makanan dan tenaga, serta perubahan iklim.
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan bahawa negara-negara membangun mungkin perlu berbelanja sehingga AS$300 bilion menjelang 2030 untuk mengurangkan kesan perubahan iklim.
Baginda juga menggalakkan untuk menggandakan usaha bagi meningkatkan penyelarasan dan membangunkan strategi dalam memastikan kemakmuran masa hadapan.
Oleh itu, Baginda menghargai hasrat China dalam menyokong Pusat Perubahan Iklim ASEAN dan mengalu-alukan pengukuhan kerjasama dalam perubahan iklim, termasuk melalui Perjanjian Kerjasama Teknikal ASEAN-China.
Semasa sidang kemuncak itu, para pemimpin, antara lainnya, berpuas hati dengan pengukuhan hubungan ekonomi melalui penaiktarafan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China yang diharapkan akan menggalakkan pengintegrasian ekonomi dan seterusnya mempermudah aliran perdagangan dan pelaburan.
Selain itu, para pemimpin juga turut mengemukakan cadangan bagi meningkatkan kerjasama dalam bidang-bidang pertumbuhan masa hadapan seperti ekonomi hijau dan pertanian pintar.
SIDANG KEMUNCAK ASEAN-REPUBLIK KOREA KE-25 BAGI MEMPERINGATI ULANG TAHUN KE-35 HUBUNGAN DIALOG
Pada Sidang Kemuncak ASEAN-Republik Korea (ROK) ke-25 bagi Memperingati Ulang Tahun ke-35 Hubungan Dialog ini, Baginda bertitah menyatakan perkongsian ASEAN-ROK telah berkembang pesat sepanjang tiga dekad yang lalu, justeru itu Baginda menghargai sumbangan ROK dalam mempromosikan keamanan dan kemakmuran serantau.
Oleh itu, penubuhan Perkongsian Komprehensif Strategik ASEAN-ROK yang bermakna, substantif dan bermanfaat adalah tepat pada masanya.
Tambahan lagi, kemajuan teknologi telah mengubah cara berinteraksi dan mengendalikan perniagaan sejak beberapa tahun ini. Menurut Bank Pembangunan Asia (ADB), penggunaan Internet terutamanya di Asia Tenggara, telah mencapai sekurang-kurangnya 70 peratus, membolehkan syarikat dari semua saiz mencapai pasaran global melalui e-dagang.
Baginda menyuarakan pandangan bahawa ROK berada pada kedudukan yang unik untuk menyumbang kepada transformasi digital ASEAN termasuk pembangunan infrastruktur, seperti gerbang pembayaran digital dan program-program pembangunan kapasiti.
Dalam perkara ini, Baginda berharap untuk bekerjasama dengan ROK melalui Korea-ASEAN Digital Innovation Flagship Project bagi mendukung kesalinghubungan digital rantau ini.
Memandangkan teknologi baharu turut menimbulkan cabaran keselamatan seperti serangan siber, kecurian dalam talian dan pelanggaran data, Baginda menekankan keperluan untuk bekerjasama rapat dalam inisiatif keselamatan siber.
Pada akhir titah, Baginda menzahirkan penghargaan atas sokongan ROK terhadap ASEAN melalui Projek Perisai Siber ASEAN demi memastikan ruang siber yang selamat dan terjamin untuk rakyat.
Pada sidang itu, para pemimpin menyatakan ROK memainkan peranan penting dalam memajukan transformasi digital dalam ASEAN, khususnya dalam kecerdasan buatan.
Para pemimpin juga menggesa untuk mempercepatkan proses peralihan tenaga serta pembangunan seimbang bagi memastikan masa hadapan yang mampan untuk semua.
SIDANG KEMUNCAK ASEAN-JEPUN KE-27
Semasa menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-27, Baginda bertitah menekankan bahawa Jepun telah menyumbang secara signifikan kepada keamanan dan kemakmuran rantau ini, yang membolehkan perwujudan Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-Jepun.
Baginda menyifatkan hubungan kukuh ASEAN dan Jepun ini terjalin melalui perhubungan antara rakyat dengan rakyat yang erat, dibina atas kepercayaan dan rasa hormat bersama, dipupuk oleh kerjasama ‘hati ke hati’ selama bertahun-tahun.
Ke arah ini, Baginda menzahirkan penghargaan atas pelbagai inisiatif yang mendekatkan rakyat melalui biasiswa, pertukaran budaya dan aktiviti rangkaian serta atas sumbangan Jepun kepada ASEAN Junior Fellowship Programme, yang menyediakan satu lagi platform untuk membina dan memupuk persahabatan.
Menyentuh mengenai sektor tenaga, Baginda menekankan bahawa permintaan tenaga yang meningkat di Asia Tenggara telah meningkat 3 peratus setiap tahun dalam beberapa dekad kebelakangan ini, yang menurut Agensi Tenaga Antarabangsa didorong oleh jumlah penduduk yang semakin meningkat.
Penggunaan tenaga yang meningkat juga telah menyumbang kepada kesan perubahan iklim yang semakin teruk, mengakibatkan kerosakan infrastruktur dan kehilangan nyawa.
Justeru itu, Baginda menekankan kepentingan untuk bertindak segera bagi melindungi kesejahteraan rakyat ASEAN dan Jepun.
Sehubungan itu, Baginda juga menekankan kepentingan bagi ASEAN dan Jepun bekerjasama dalam mempercepatkan usaha peralihan tenaga, termasuk melalui Cleaner Energy Future Initiative for ASEAN, dan meneroka sumber alternatif bagi memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat di rantau ini.
Baginda juga menggalakkan kerjasama yang lebih erat di antara pusat berkaitan ASEAN dan Jepun seperti Pusat Pelepasan Sifar Asia dan Pusat Perubahan Iklim ASEAN untuk membangunkan dan mengesyorkan dasar dan tindakan dalam mengurangkan dan menangani perubahan iklim.
Akhir sekali, Negara Brunei Darussalam akan menganjurkan bengkel serantau mengenai perubahan iklim bersama ERIA yang akan diadakan tahun hadapan.
Para pemimpin semasa sidang itu, antara lainnya menggariskan kepentingan bagi usaha-usaha Jepun untuk mengurangkan karbon dalam ASEAN ke arah komuniti rendah karbon, dan seterusnya menyambut baik penubuhan Grid Tenaga ASEAN.
Dengan ASEAN Outlook on Indo-Pacific (AOIP) dan Free and Open Indo-Pacific yang diterajui oleh Jepun saling melengkapi, oleh itu kerjasama dalam empat bidang utama AOIP, iaitu maritim, ekonomi, kesalinghubungan dan matlamat-matlamat pembangunan mampan perlu dipertingkatkan lagi.
SIDANG KEMUNCAK ASEAN PLUS THREE KE-27
Semasa sidang ini, Baginda bertitah bahawa ASEAN Plus Three (APT) terus menjadi daya penggerak penting untuk memajukan kerjasama Asia Timur.
Daripada Krisis Kewangan Asia kepada SARS dan pandemik COVID-19, APT telah berjaya mengharungi cabaran-cabaran tersebut yang telah mengganggu pembangunan wilayah.
Tambahan lagi, negara-negara Plus Three memainkan peranan penting dalam usaha kerjasama, di mana sokongan dan sumbangan berterusan mereka dalam menangani cabaran yang dihadapi di rantau ini sangat berkesan termasuk penubuhan Chiang Mai Initiative Multilateralisation (CMIM), APT Emergency Rice Reserve (APTERR) dan Pejabat Penyelidikan Makroekonomi APT (AMRO).
Oleh itu, Baginda menekankan bahawa mekanisme ini mesti diperkukuh dan mekanisme baharu yang diwujudkan hendaklah bersedia dan dapat bertindak balas terhadap kecemasan dan bencana pada masa hadapan dengan berkesan, ke arah memastikan APT kekal sebagai wadah yang kukuh untuk pembangunan dan daya tahan serantau.
Sebelum mengakhiri titah, Baginda menghargai sokongan untuk APTERR Table-top Exercise yang akan diadakan pada tahun 2025, yang bertujuan bagi menilai tindak balas dan keberkesanan APTERR, serta meningkatkan koordinasi dalam kalangan ahlinya.
Perbincangan para pemimpin pada sidang itu tertumpu pada meningkatkan rangkaian bekalan serantau bagi memelihara pemulihan ekonomi berikutan pandemik COVID-19, di samping keperluan untuk memperkuat kedayatahanan bersepadu ASEAN dan negara-negara Plus Three dengan memperkukuhkan kerjasama keselamatan makanan serta pembangunan kapasiti bagi modal insan.