Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OGOS – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), hari ini, berkenan berangkat ke Majlis Hafl Al-Takharruj UNISSA ke-13 di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.
Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Pro-Canselor UNISSA.
Keberangkatan tiba Baginda Sultan dijunjung oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh selaku Pengerusi Majlis
UNISSA dan Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal.
Sejurus keberangkatan tiba, perarakan Baginda didahului dengan bentara menjunjung Mushaf UNISSA di hadapan perarakan dan masuk diiringi dengan alunan selawat dan qasidah (dikir) ‘Ahlan Bikum Sultanana’, kemudian diikuti dengan nyanyian lagu kebangsaan sejurus selesai Perarakan Canselor.
Hafl Al-Takharruj disemarakkan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dari Surah Al-Baqarah bermula ayat 168 hingga 171 oleh graduan Ijazah Sarjana Muda Usuluddin (Tahfiz dan Qiraat), Awang Abdul Haziq Syarafuddin bin Haji Abdul Habib yang pernah mewakili Negara Brunei Darussalam pada Musabaqah Tilawatil Al-Quran Belia Kebangsaan 2022.














Bacaan al-hadis pula telah disampaikan oleh graduan Ijazah Sarjana Muda Usuluddin, Awang Abdul Rahim bin Haji Mohd Arsat.
Sementara itu, inti sari ayat-ayat suci Al-Quran dan al-hadis pula dibacakan oleh graduan Ijazah Sarjana Fakulti Teknologi Islam, Haji Abdul Rahman bin Haji Ahim.
Pada majlis itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan titah dan seterusnya menyempurnakan pengurniaan ijazah dan diploma kepada para graduan.
Sebelum itu, Rektor UNISSA telah menyembahkan sembah alu-aluan dan kemudiannya memaklumkan penerima-penerima pingat dan hadiah buku universiti serta para penyumbang sempena Hafl Al-Takharruj ke-13.
Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Hafl Al-Takharruj tahun ini melahirkan jumlah tertinggi graduan sejak pengeluaran graduan pada 2011.
Majlis menyaksikan tujuh orang graduan menerima Ijazah Doktor Falsafah, 73 graduan sarjana, 358 graduan sarjana muda dan 10 graduan menerima diploma, 21 orang dari program diploma kebangsaan dan seorang menerima diploma kebangsaan, manakala itu, seorang graduan menerima Ijazah Khas Hafaz Al-Quran 30 Juzuk.
Daripada jumlah tersebut, seramai 35 orang graduan terdiri daripada pelajar antarabangsa iaitu dari Thailand, Indonesia, Singapura, Malaysia, Maghribi, Palestin dan China.

